Kediaman Puteri Elaisha antara projek PKNS terlaris | DagangNews Skip to main content

Kediaman Puteri Elaisha antara projek PKNS terlaris

 

SHAH ALAM 22 Sept - Projek perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Puteri Elaisha di Kota Puteri, Taman Sijangkang Jaya di Sijangkang dan pangsapuri Selangorku di Cyberjaya mendapat sambutan paling menggalakkan daripada pembeli.

 

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, PKNS meraih jualan sebanyak RM37.8 juta menerusi kempen PKNS PLUS Mesti Beli yang diadakan pada 28 dan 29 Ogos lalu.

 

Beliau berkata, PKNS berjaya menjual sebanyak 68 unit hartanah sepanjang tempoh kempen berlangsung berbanding sasaran awal 27 unit hartanah sahaja sekali gus melepasi sasaran jualan 158%.

 

Menurutnya, kejayaan kempen program PKNS PLUS Mesti Beli ini adalah hasil rancangan rapi daripada unit jualan PKNS di samping pelbagai tawaran dan insentif hebat yang diberikan kepada semua pembeli hartanah PKNS.

 

“Selain itu, faktor sokongan lain seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan diskaun sehingga 20 peratus juga turut menyumbang kepada kejayaan kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Suhaimi berkata, pencapaian itu dikira kejayaan berganda bagi kempen PKNS PLUS Mesti Beli kerana PKNS PLUS Siri 1/2021 berjaya mencapai nilai jualan secara keseluruhan lebih RM50 juta yang melibatkan 102 unit dan peratus pencapaian adalah 151%.

 

Beliau berkata, strategi jualan dan pemasaran PKNS dalam menawarkan produk yang mesra pengguna selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga yang tepat terbukti berkesan.


 

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon
   Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon


 


“Kejayaan berganda ini telah membuktikan produk hartanah PKNS masih menjadi pilihan pelanggan dan mempunyai nilai jual yang tinggi dari segi lokasi dan kemudahan sekitar,” katanya. - DagangNews.com