Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Dis - Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) mengekalkan prospek stabil terhadap sektor jalan raya bertol di negara ini dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Ini berdasarkan kepada jangkaan bahawa trafik akan kembali meningkat secara beransur-ansur disokong dengan pemulihan makroekonomi dan sekatan pergerakan dilonggarkan, menurutnya dalam laporan prospek sektor berkenaan.
Bagaimanapun, jelas agensi penarafan itu, sebarang perubahan tidak dijangka dalam dasar kerajaan membabitkan varian baharu COVID-19 atau pemulihan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan akan membawa kepada semakan semula sektor ini.
"Dalam membuat penilaian terhadap jalan raya bertol, kebimbangan kami adalah mengenai kedudukan kecairan syarikat konsesi berikutan impak pandemik dan juga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Bagi mereka yang diberi prospek negatif, metrik kecairan yang lemah menyebabkan ruang terhad bagi menahan pemulihan trafik yang perlahan daripada jangkaan," jelasnya.
Laluan jalan bertol sangat terkesan ketika PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020 menyaksikan trafik merosot sehingga 90% pada April berbanding tempoh sama pada 2019.
Apabila sekatan ditarik balik atau dilonggarkan sekitar Jun hingga Ogos 2020, trafik di kebanyakan jalan raya bertol melantun semula hampir atau melebihi paras sebelum pandemik.
Namun, ia kembali perlahan pada Oktober 2020 apabila kerajaan menguatkuasakan sekatan yang lebih ketat berikutan lonjakan semula kes COVID-19.
Dalam tempoh 8 bulan pertama 2021, transaksi kenderaan penumpang masih menurun kira-kira 33% tahun ke tahun tetapi trafik komersial menyaksikan pertumbuhan hampir 15% tahun ke tahun.
MARC berkata, kadar pemulihan sektor ini bergantung kepada beberapa faktor setakat ini tetapi ia sepatutnya pulih daripada penguncupan mendadak seperti yang dilihat pada April 2020.
"Tanpa gelombang baharu jangkitan, kami menjangkakan pemulihan trafik yang progresif pada 2022 dan kembali sepenuhnya ke paras ambang 2019 menjelang 2023-2024," jelasnya.
Penarafan MARC terhadap operasi jalan raya bertol sebahagian besarnya merangkumi lebuh raya matang dengan profil trafik dan hasil yang stabil.
"Oleh itu, sementara volum trafik kekal di bawah paras prapandemik setakat September 2021, kami melihat ruang untuk pertumbuhan sebaik sahaja sekatan perjalanan ditarik balik dan wabak ini berkurangan," katanya.
Bagi projek jalan raya bertol di bawah pembinaan, menurutnya, syarikat konsesi berdepan cabaran penutupan ekoran pandemik dan memerlukan tempoh lanjutan untuk menyiapkan projek.
"Bagaimanapun, projek-projek ini telah pun berada di peringkat lanjutan pembinaan (contohnya, kira-kira 94% siap untuk PLSUKE dan kira-kira 87% untuk DUKE 3), dengan permulaan tol masih dijangka dalam sensitiviti negatif kami terhadap kelewatan 6 bulan.
"Tambahan pula, kami berpandangan, langkah-langkah kontigensi yang telah dilaksanakan akan mengehadkan impak daripada kelewatan projek ini," tambahnya.
Terdapat 9 penilaian entiti dengan 16 jalan raya bertol (13 beroperasi dan 3 masih dalam pembinaan) dijalankan agensi tersebut.
Ia mengesahkan penarafan untuk 7 daripada 9 entiti yang dinilai pada 2021 manakala prospek adalah stabil bagi 67% daripada liputannya.
Jelasnya, penarafan disemak turun terhadap 2 penerbit manakala prospek disemak semula kepada negatif.
MARC berkata, penarafan bagi terbitan MEX II Sdn. Bhd. disemak rendah sebanyak 2 kali tahun ini daripada BBBIS kepada BBIS dan seterusnya CIS disebabkan tekanan kecairan yang meningkat dan kapasiti bayaran semula rosot nilai.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan rundingan berpanjangan untuk mendapatkan dana pembiayaan luaran bagi memenuhi keperluan pembiayaan termasuk dana untuk melengkapkan projek Lebuh raya Putrajaya-KLIA sepanjang 16.8 kilometer yang terhenti, tambahnya.
"Senai Desaru Expressway Bhd. (SDEB) juga disemak rendah kepada BBIS daripada BBB-IS dengan prospek disemak semula kepada negatif.
"Penurunan penarafan ini mencerminkan kedudukan kecairan SDEB yang ketat dan keterlihatan pemulihan trafik yang terhad serta pertumbuhan masa depan Senai Desaru Expressway," katanya.
Agensi itu turut menyemak semula prospek Kesturi kepada negatif daripada stabil setelah mengambil kira risiko penurunan keupayaan syarikat untuk mengekalkan nisbah perlindungan perkhidmatan kewangan (FSCR) sebanyak 1.75x disebabkan prestasi trafik yang lemah di tengah-tengah pandemik dan peningkatan bayaran hutang.
Menurut MARC, pada masa hadapan, skop yang mengecil dalam peningkatan jumlah trafik dan akses terhad pembiayaan akan terus menyukarkan syarikat yang sudah berdepan tekanan kewangan terutamanya bagi penerbit gred bukan pelaburan. - DagangNews.com