KUALA LUMPUR 9 Feb – Rumah Rusia di Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia akan menganjurkan pertandingan catur antarabangsa tahunan pada 12 Februari ini dan mempelawa orang ramai menyertainya.
Acara tersebut akan dirasmikan oleh Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov dan diadakan bersempena Hari Pekerja Diplomatik di Rusia dan juga ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Rusia dan Malaysia.
Pengarah Rumah Rusia di Kuala Lumpur, Svetlana Kovaleva berkata, Persekutuan Catur Malaysia dan Persekutian Catur Rusia merupakan penganjur pertandingan tersebut yang secara tradisinya disokong oleh Kedutaan Rusia di negara ini, seiring dengan slogan FIDE (Kita Satu Keluarga).
Beliau yang juga Kaunselor di Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia berkata, kakitangan misi diplomatik berpangkalan di Malaysia dan semua peminat catur tanpa mengira usia boleh menyertai pertandingan catur ini secara percuma dan hadiah berupa simbolik.
Satu pameran foto "Chess Museum" Persekutuan Catur Rusia juga akan diadakan bagi pengunjung yang tidak menyertai pertandingan. Antara pameran unik ialah gambar set catur, yang julung kali digunakan di dalam pertandingan catur "Cosmos - Earth" pada 9 Jun 1970.
Khusus bagi acara bersejarah ini, jurutera Rusia Mikhail Klevtsov mencipta set catur khas untuk dimainkan di dalam graviti sifar: buah catur dilekat pada papan bukan menggunakan magnet, sebaliknya sistem spring khas.
Permainan antara kosmonot roket Soyuz-9, Andriyan Nikolayev dan Vitaly Sevastyanov, dengan pasukan Pusat Kawalan Misi – ketua latihan kosmonot, Kolonel Jeneral Nikolai Kamanin dan juruterbang kosmonot Viktor Gorbatko berakhir dengan seri, dan catur itu dibawa pulang ke Bumi oleh kosmonot dan diserahkan kepada Persekutuan Catur USSR.
Malah bagi penggemar catur, imej catur oleh pakar Tuvan pada separuh kedua kurun ke-20 pasti akan menarik minat besar, di mana buah-buah catur kecil direka dengan teliti dan berbeza daripada buah catur biasa.
Buah Ratu misalnya, merupakan singa mistik, gajah adalah unta dan rook pula adalah ular ‘melilit kebahagian’. Pakar-pakar merumuskan reka bentuk itu dipengaruhi oleh China.
Penggemar catur yang mahu menyertai pertandingan catur ini boleh menghubungi Rumah Rusia di Kuala Lumpur secara e-mel ke [email protected] atau menelefon: 03-2144-4001. – DagangNews.com