Kegiatan 'curi karan' akibatkan kerugian RM200 juta setahun kepada SESB | DagangNews Skip to main content

Kegiatan 'curi karan' akibatkan kerugian RM200 juta setahun kepada SESB

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 14 Feb - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat kegiatan mencuri elektrik atau lebih dikenali sebagai ‘curi karan’ dalam kalangan penduduk tempatan di negeri ini.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, SESB berdepan kehilangan elektrik sebanyak 17% dalam grid bekalan elektriknya, dan daripada jumlah itu 10% merupakan kehilangan secara teknikal manakala 7% kehilangan bukan teknikal atau akibat kecurian.

 

Beliau berkata daripada anggaran sudut kewangan, 1% kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB kerugian RM30 juta setahun, justeru kehilangan bukan teknikal atau kecurian itu menyebabkan kerugian RM210 juta setahun kepada SESB.

 

"Jumlah ini (RM210 juta setahun) merupakan 25% daripada kerugian keseluruhan dihadapi SESB. Jumlah itu juga cukup untuk membantu mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi kerajaan yang ketika ini sekitar RM850 juta setahun.

 

"Ini juga bererti bahawa jika sekiranya kita dapat membanteras kecurian ini, kelestarian kewangan SESB akan jauh lebih baik. SESB adalah mangsa penjenayah curi karan, oleh sebab itulah tu SESB sangat mengambil serius untuk membanteras kegiatan mencuri ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun di IPK Sabah.

 

Mengulas mengenai kunjungan itu, Madius berkata dalam pertemuan itu pihak SESB dan polis bertukar pandangan dan bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih kukuh bagi membanteras jenayah kecurian elektrik di negeri ini.

 

"Saya yakin dan percaya melalui pertemuan ini, ia akan meningkatkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara SESB dan polis pada masa akan datang. Sama-sama kita perangi jenayah dan kegiatan mencuri elektrik ini," katanya.

 

Beliau berkata, kerjasama itu penting kerana SESB hanya merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan tidak mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang untuk menahan mereka yang terlibat dalam kes kecurian elektrik ini, lapor Free Malaysia Today.

 

"SESB sebenarnya mangsa kepada jenayah curi dan di peringkat kita, tindakan yang diambil adalah melaporkan kepada pihak berkuasa. Justeru kita mahu kerjasama erat dengan polis untuk menangani isu kecurian elektrik ini," katanya.  - DagangNews.com