KUALA LUMPUR 7 Feb - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan kehadiran 1,600 pekerja baharu pada 2023 akan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi kumpulan itu sebelum ini.
Firma itu berkata, sebelum ini kumpulan itu menerima tambahan 1,400 pekerja khususnya dari Indonesia di Semenanjung Malaysia pada 2022.
"Dengan 3,300 pekerja baharu, kekurangan tenaga kerja bukan lagi isu besar kepada kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Walaupun hujan di ladang kumpulan di Sabah dan Indonesia, proses penuaian dan pemindahan buah tandan segar tidak terjejas.
Firma itu percaya, kos pengeluaran kumpulan akan meningkat kepada RM2,100 bagi setiap tan pada FY23 berbanding RM2,000 setiap tan pada FY22 disebabkan kos gaji yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun dari sudut positif, kos baja dijangka menurun sebanyak 5% hingga 10% pada FY23," katanya.
Firma itu mengunjurkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) (penapisan dan oleokimia) kumpulan akan menyusut sebanyak 15% pada FY23 selepas mencatatkan keuntungan pada FY22.
Katanya, pendapatan yang lebih rendah dalam FY23 boleh dikaitkan dengan permintaan yang lebih lemah dan harga jualan bersama-sama dengan kos tenaga yang lebih tinggi di Eropah.
"Eropah dianggarkan menyumbang 35% daripada kapasiti pengeluaran oleokimia kumpulan.
"Kira-kira separuh daripada kapasiti pengeluaran oleokimia kumpulan terletak di Malaysia manakala bakinya di Indonesia dan China," katanya.
Firma itu menganggarkan perbelanjaan modal kumpulan sebanyak RM2.4 bilion pada FY23 dengan 40% daripadanya diperuntukkan untuk perladangan manakala 60% lagi untuk pembuatan.
Sebahagian besar belanjawan pembuatan adalah untuk kilang penapisan sawit di Kalimantan Timur.
"Kilang penapisan sawit itu akan mempunyai kapasiti pemprosesan 1,500 tan sehari hingga 2,000 tan sehari setelah siap pada penghujung 2023," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM22.20 sesaham. - DagangNews.com