Kehadiran pelajar ke sekolah ikut kaedah penggiliran - KPM | DagangNews Skip to main content

Kehadiran pelajar ke sekolah ikut kaedah penggiliran - KPM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kehadiran murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan kelas peralihan bagi Kedah dan Perlis, Perak, Pulau Pinang serta Sabah pada 21 dan 22 November ini adalah mengikut kaedah penggiliran.

 

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaedah penggiliran itu turut melibatkan kehadiran pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di lima negeri tersebut.

 

Katanya, kehadiran murid di sekolah asrama adalah secara penuh tanpa penggiliran dan perincian mengenainya akan diberitahu kepada ibu bapa dan penjaga oleh pihak sekolah.

 

"KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober lalu," menurut kenyataan itu.

 

Semalam, KPM memaklumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 21 dan 22 November ini.

 

Kata KPM, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar serta teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

 

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat," tambah kenyataan tersebut.

 

Pada 5 Nov lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa semalam (8 November).-DagangNews.com