KUALA LUMPUR 20 Ogos - Universiti Heriot-Watt Malaysia menganjurkan Kejohanan Perakaunan Heriot-Watt Edinburgh Business School (EBS) 2024 bagi memupuk bakat muda dalam bidang perakaunan.
Menurut universiti itu, acara tersebut menarik penyertaan pelajar dari 91 sekolah di seluruh negara melibatkan pelajar tingkatan 5 dari sekolah awam, serta pelajar Tahun 11 dari sekolah antarabangsa.
Katanya, seramai 832 pelajar bertanding dalam pusingan awal dan kemudiannya hanya 30 pelajar terpilih ke pusingan akhir yang berlangsung di kampus universiti itu di Putrajaya setelah melalui proses pemilihan yang ketat.
"Semasa perlawanan akhir, para peserta telah diuji tentang pengetahuan perakaunan mereka melalui satu siri masalah teori dan pengiraan yang mencabar, dinilai dari segi ketepatan dan kelajuan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Penolong Profesor Sekolah Perniagaan Universiti Heriot-Watt Malaysia, Jimmy Tam berkata, acara itu bukan sahaja mengiktiraf bakat perakaunan dalam kalangan pelajar Malaysia tetapi juga memberikan inspirasi serta penghargaan lebih mendalam terhadap disiplin.
"Dengan memupuk daya saing dalam persekitaran yang menyokong, kami berhasrat untuk memupuk generasi profesional perakaunan akan datang yang bakal memacu inovasi dan kecemerlangan dalam bidang ini, pertandingan ini mewakili komitmen kami terhadap kecemerlangan akademik dan menyokong perjalanan pendidikan generasi muda Malaysia," ulas beliau.
Selain daripada hadiah wang tunai, kesemua 30 peserta akhir telah dianugerahkan biasiswa Sekolah Perniagaan Edinburgh bernilai RM10,000.
Biasiswa sekali sahaja tersebut akan diagihkan sama rata sepanjang tahun akademik dan terpakai kepada program asasi atau mana-mana program ijazah EBS.- DagangNews.com