Kejutan radikal dalam naratif ekonomi Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content

Kejutan radikal dalam naratif ekonomi Malaysia MADANI

Oleh MUHAMMAD YASIR TAMIZI

MENDEPANI tiga rancangan ekonomi terbesar dalam negara iaitu Pelan Induk Industri, semakan setengah penggal Rancangan Malaysia ke-12, dan Belanjawan 2024 serta naratif ekonomi MADANI, Kementerian Kewangan membuka ruang kepada orang awam untuk menyarankan idea di portal "Suarakan Pendapat Anda - MoF".

 

Kita insaf mengenai cabaran ekonomi Malaysia yang tidak mudah. Menyedari bahawa corak ekonomi dunia yang membebankan, dengan tahap hutang negara dan hutang rakyat yang masih tinggi, dunia yang diancam pertumbuhan ekonomi yang perlahan, bekalan sumber makanan dan bahan api yang terganggu, kos sara hidup yang meningkat, kadar bunga yang tinggi, di bawah adalah idea-idea pendekatan yang saya rumuskan dengan tumpuan kepada 3 bidang iaitu ekonomi, subsidi dan pembangunan sosial.

 

Kita mulakan dengan gesaan bahawa naratif ekonomi MADANI memerlukan kejutan radikal. Falsafah ekonomi Adam Smith harus dilaksanakan secara lengkap.

 

Pasaran terbuka harus dilaksanakan bersama etika dan moral agar memusatkan keprihatinan kepada golongan terpinggir dan miskin. Maka, pasaran sosial harus dikukuhkan, menghidupkan ekonomi yang manusiawi.


 

parafrasa

 


Rakyat harus makmur, kekayaan negara pula harus terus diagihkan dengan saksama. Pertama sekali, ekonomi Malaysia harus beralih dari digerakkan majoriti oleh syarikat kerajaan kepada ekonomi yang digerakkan majoriti oleh perusahan mikro kecil dan sederhana (MKS) yang sebenarnya merangkumi lebih 90% daripada akaun bisnes dalam ekonomi, dengan fokus diberikan kepada bidang yang asasi seperti jaminan makanan. Lonjakan ekonomi daripada perusahan MKS akan membawa lonjakan besar dalam ekonomi.

 

Dan ekonomi ini harus dielakkan daripada terlalu dijana dengan hutang kerana hutang menimbulkan kitaran ekonomi gawat dan muncup seperti yang dibentangkan Ray Dalio tentang kitaran ekonomi setiap 8 hingga 10 tahun. Ekonomi yang stabil sudah tentu menginginkan keberhasilan yang berterusan dengan risiko kitaran gawat yang rendah.

 

Pembiayaan sosial Islam yang bersumber kepada dana filantropi, zakat dan wakaf harus diperkasakan sedaya mungkin sehingga mampu menggantikan model pembiayaan projek, bagi mempastikan pembangunan projek-projek prasarana negara tidak terbeban dengan soal keuntungan dalam pembiayaan aset, sekaligus meringankan beban rakyat terbanyak.

 

Subsidi

Berkenaan subsidi pula, prinsip subsidi ini harus ditetapkan sebaiknya dengan akta yang khusus, agar ia tidak mudah berubah mengikut selera politik.

 

Sama ada subsidi ini bermaksud Kerajaan membantu rakyat dengan bantuan kewangan seperti naratif lama pentadbiran terdahulu atau sebenarnya Kerajaan berkongsi keuntungan daripada hasil negara kepada rakyat.

 

Mekanisme perkongsian untung (profit-sharing) atau kaedah harga 2 peringkat (2-tier pricing) wajar dimanfaatkan ke atas hasil galian yang dipunggah dari perut bumi negara seperti petrol dan gas, serta hasil tanaman kontan seperti dalam penghasilan minyak sawit sekaligus minyak masak, agar rakyat dalam negara dapat menikmati hasil negara pada kadar lebih rendah, bukan pada harga pasaran dunia yang menekan.

 

Misalnya, harga gas PETRONAS untuk kegunaan dalaman dalam bidang tenaga, boleh dirasionalkan agar tidak mengikut harga pasaran dunia, supaya memberi manfaat kepada seluruh rakyat, rentas julat pendapatan.

 

Asasnya, prinsip subsidi harus diluruskan. Adakah subsidi merupakan bantuan kepada rakyat atau ianya adalah hak rakyat?


 

parafrasa

 


Ketiga, berkenaan pembangunan sosial yang harus memanfaatkan sepenuhnya potensi pembiayaan sosial Islam (Islamic social finance) seperti iTEKAD dengan niat mengangkat martabat golongan miskin daripada lembah kemiskinan.

 

Kerjasama dengan badan waqaf dan zakat, amat wajar dilicinkan dan disegerakan. Pembiayaan projek yang biasa yang akhirnya membebankan rakyat harus digantikan dengan pembiayaan sosial yang merendahkan kos pembiayaan aset.

 

Kerjasama dengan organisasi yang mempunyai kemahiran tinggi terus digalakkan agar kemahiran pekerjaaan rakyat meningkat kepada kemahiran tinggi sesuai dengan era revolusi industri ke-4 yang memfokus kepada keperluan zaman seperti digitalisasi, ekonomi hijau dan tenaga boleh baharu. Pendekatan ini harus dibuat besar-besaran di setiap daerah dari bandar raya hingga pedalaman.

 

Dalam merumuskan dasar-dasar yang menurut naratif ekonomi madani ini, prinsipnya tidak boleh tercabut daripada sumber al-Quran tentang arahan ketuhanan agar kita bertindak adil dan berbuat ihsan, berikhtiyar demi keadaan yang saksama dengan pelaksanaan yang cemerlang, tanpa meninggalkan pendekatan kasih dan sayang.

 

Namun, dalam kita menganggap bahawa isu ekonomi boleh diselesaikan oleh dasar ekonomi sahaja, faktor pendidikan dan latihan yang fokus kepada mengembangkan keupayaan insan, peningkatan tahap kemahiran dan mengukuhkan nilai jujur dan amanah, adalah mustahak.

 

Kita hanya akan mengulang tragedi rasuah yang memalukan jika kecemerlangan yang mula bertunas hari ini dan keyakinan dengan pelaburan luar jangka panjang yang semakin bertambah, kembali dijangkiti wabak penyelewengan dan kelaihan dalam proses perniagaan, yang berpunca dari hilangnya akhlak dan integriti dalam sistem negara kita.

 

Amalan jahil di era lalu dengan serangan hasutan agama, kaum dan fitnah, penumpukan kekayaan kepada sekelompok golongan yang terpilih dan politik kebangsaan yang tidak mutlak kepada pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, mesti dilemahkan dan dibanteras dengan pelaksanaan hukum dan undang-undang yang adil, serta pemerkasaan institusi rakyat yakni Parlimen.


 

parafrasa

 


Misi pendidikan agar terbangun anak Malaysia yang baik dan cerdik atau dalam kerangka yang lebih luas, insan yang beradab, berilmu dan bertanggungjawab, bukan sahaja akan mendokong inisiatif ekonomi tetapi menjamin misi pengangkatan martabat rakyat dan negara ke tahap ketamadunan baharu membuahkan hasil, berpaksikan rukun-rukun MADANI.

 

Rangkumannya, hari ini Malaysia berada pada detik yang penting untuk merebut peluang dalam melakukan transformasi radikal terhadap struktur ekonomi, yang dipandu oleh prinsip-prinsip MADANI.

 

Ini melibatkan pemerkasaan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MKS), mengurangi kebergantungan kepada hutang, memanfaatkan potensi instrumen pembiayaan sosial, menentukan prinsip subsidi, dan akhirnya mengutamakan latihan peningkatan pengetahuan, mengembangkan kemahiran, dan memupuk nilai integriti yang teguh pada individu.


 

parafrasa

 


Inisiatif-inisiatif ini merupakan langkah penting dalam reformasi ekonomi, kerana dalam menghadapi cabaran saat ini dan di masa depan, Malaysia tidak punyai ruang untuk hanya melakukan penyesuaian kecil pada dasar sebelumnya. Malaysia harus reformasi dan reformasi itu harus radikal.

 

Oleh sebab itu, penting untuk negara, masyarakat dan diri peribadi menafsirkan kemampanan, kasih sayang, rasa hormat, budaya inovasi, kesejahteraan, dan keyakinan menjadi dasar-dasar yang bererti, yang membawa kemajuan positif bagi masyarakat, kelompok perniagaan, dan kepentingan negara.  - DagangNews.com

 

Muhammad Yasir Tamizi adalah pengurus strategi korporat yang sedang melanjutkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Islam Antarabangsa