Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - MIDF Research mengekalkan saranan BELI ke atas saham Tasco Bhd dengan harga sasaran (TP) yang disemak sebanyak RM1.65 daripada RM1.47.
Firma penganalisis itu berkata, pendapatan teras Tasco bagi separuh pertama tahun kewangan 2022 yang berjumlah RM32.3 juta sebahagian besarnya dalam jangkaan pihak MIDF tetapi melebihi konsensus dengan masing-masing pada kadar 55% dan 57%.
Katanya, perolehan Tasco melonjak sebanyak +48.4% tahun ke tahun kepada RM605.6 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2022 dirangsang oleh kedua-dua segmen Penyelesaian Perniagaan Antarabangsa (IBS) dan Penyelesaian Perniagaan Domestik (DBS) di mana pendapatan daripada segmen ini masing-masing meningkat +71.0% tahun ke tahun kepada RM280.6 juta dan +33.2% tahun ke tahun kepada RM325 juta.
"Hasil yang dijana daripada bahagian Ocean Freight Forwarding (OFF) melonjak kepada RM102.5 juta (+119.1%) disebabkan oleh aliran menaik dalam kadar pengangkutan laut yang didorong terutamanya oleh beberapa isu berkaitan kekurangan kontena, kesesakan pelabuhan dan kekurangan pemandu trak.
"Atas sebab yang sama, bahagian Penghantaran Kargo Udara (AFF) mencatatkan hasil RM178.1 juta (+51.8%) kerana kebanyakan pelanggan memilih untuk menghantar kargo mereka melalui udara," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Tambahnya, pemerolehan dalam pembuatan makanan baharu menyumbang secara positif kepada prestasi bahagian Logistik Kontrak (CL) yang mencatatkan pendapatan RM184.9 juta (+22.2%).
"Begitu juga, bahagian Rantaian Bekalan Sejuk (CSC) mencatatkan hasil RM67.2 juta (+8.2%) disokong oleh perniagaan ais krim dan ayam & daging.
"Lebih-lebih lagi, pelanggan baharu dan peningkatan penghantaran bersama-sama dengan perkhidmatan trak rentas sempadan Thailand dan Singapura telah meningkatkan pendapatan bahagian Trucking kepada RM72.8 juta (+138.8%yoy).
"Kami mengekalkan anggaran pendapatan bagi kumpulan tersebut kerana keputusan kewangannya adalah dalam jangkaan pendapatan yang dibuat," katanya. -DagangNews.Com