Kekurangan komponen, kesukaran mendapatkan pinjaman beri impak kepada pemulihan sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Kekurangan komponen, kesukaran mendapatkan pinjaman beri impak kepada pemulihan sektor automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - RHB Research menjangkakan kekurangan komponen utama selain kesukaran mendapatkan pembiayaan bank akan memberi impak terhadap pemulihan jualan kenderaan.

 

Firma itu juga tidak menolak kemungkinan berlaku perintah kawalan pergerakan selepas mengambil kira mutasi virus COVID-19.

 

"Pada masa sama, nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin lemah juga memberi impak kepada margin keuntungan syarikat automotif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Produa mencatatkan peningkatan sebanyak 54% dari bulan ke bulan dan Proton sebanyak 35% manakala Honda menunjukkan peningkatan sebanyak 75%, Mazda mencatatkan peningkatan paling cemerlang dengan 367% selepas berkemungkinan berjaya mendapatkan pesanan CBU yang mencukupi dari Jepun dan Thailand.

 

Katanya, pada Mac, jenama kenderaan nasional memiliki pegangan 53% pasaran menurun daripada 59% daripada fasa pandemik dan ia berpunca daripada jualan yang kukuh daripada Honda dan Toyota.

 

"Hasil jualan semua jenama pada 1Q22 meningkat berbanding 1Q21 dengan beberapa siri larangan pergerakan memberi impak kepada juala kenderaan.

 

"Bagaimanapun, hasil jualan Proton menurun sebanyak 21% selepas pengeluarannya dilanda banjir pada Disember 2021 dan sebagai perbandingan, kadar pengeluaran purata mereka adalah 7,700 unit antara Januari dan Februari 2022 manakala 12,800 unit pada bulan-bulan sebelum berlakunya banjir," katanya.

 

RHB Research juga meningkatkan unjuran jualan kenderaan (TIV) daripada 540,000 kepada 580,000 selepas mengambil kira hasil jualan yang kukuh pada suku pertama tahun ini walaupun banjir memberi kesan kepada jualan Januari dan Februari 2022.

 

"Tempahan dilihat semakin kukuh dengan pelanggan mengambil kesempatan terhadap pengecualian cukai jualan selain pengeluar kenderaan berusaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas mengambil kira kebimbangan terhadap tekanan margin keuntungan pada 2H22 dan pemabaharuan duti eksais yang akan menjejaskan sentimen terhadap sektor itu. - DagangNews.com