Kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos buruh berisiko jejas prospek P.I.E. Industrial - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos buruh berisiko jejas prospek P.I.E. Industrial - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kenanga Research mengunjurkan P.I.E. Industrial Berhad terdedah beberapa risiko operasi yang berpotensi menjejaskan keputusan kewangan kumpulan bagi 4QFY23 termasuk kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos buruh.

 

Katanya, kumpulan itu sebelum ini berjaya mendapatkan empat pelanggan baharu bagi produk berkaitan peranti dron untuk pertunjukan cahaya, peranti diagnostik untuk kanser mulut, rumah pintar dan penderia industri.

 

Rundingan dengan keempat-empat pelanggan telah dimuktamadkan dan fasa kelayakan dan persampelan sedang dijalankan.

 

"Keadaan itu bagaimanpun boleh berubah sekiranya kos tenaga kerja meningkat kerana ia boleh menjejaskan hasil kumpulan selain kumpulan itu juga berdepan cabaran lain termasuk kehilangan tempahan atau pelanggan utama tidak memperbaharui kontrak serta kekurangan tenaga kerja.

 

"Selain itu P.I.E. Industrial juga terdedah kepada kemungkinan ulasan negatif terhadap layanan pekerja asing oleh aktivis dan pergerakan mata wang yang tidak menguntungkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga telah menerima pengesahan daripada Pelanggan N bagi mengusahakan model baharu perantinya yang dijadualkan pelancarannya pada 2024.

 

Katanya, walaupun kumpulan itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil bahagian pemasangan terakhir bagi model baharu.

 

"Pelanggan N berhasrat menjadikan P.I.E Industrial sebagai antara sumber yang boleh dipercayai dan akan terus meningkatkan peruntukan kepada kumpulan itu secara berperingkat daripada tahap semasa iaitu 10% daripada jumlah global," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana memiliki set kemahiran komprehensif yang menjadikannya penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pilihan utama untuk syarikat multinasional selain kedudukannya sebagai anak syarikat Foxconn.

 

Selain itu mereka memiliki kepelbagaian pelanggan daripada mereka dalam segmen peranti komunikasi dan alatan kuasa kepada peralatan kewangan terdesentralisasi (DeFi).

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM3.80 sesaham," katanya. - DagangNews.com