Kelahiran di Malaysia susut 4.4%, kematian meningkat 10.1% pada 2Q21 | DagangNews Skip to main content

Kelahiran di Malaysia susut 4.4%, kematian meningkat 10.1% pada 2Q21

Kelahiran Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Perangkaan Demogradi bagi suku kedua 2021 (2Q21) menunjukkan jumlah kelahiran hidup di negara ini menyusut sebanyak 4.4% kepada 111,573 kelahiran.

 

Jumlah itu menurun berbanding 116,688 kelahiran pada suku sama 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran).

 

"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3%), manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (390 kelahiran :0.3%).

 

"Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa COVID-19, tetapi statistik menunjukkan sebaliknya.

 

"Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di AS, Republic of Korea, United Kingdom, France dan Spain," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1% berbanding suku kedua 2020 (40,241 kematian).

 

Jelasnya, sejumlah 25,216 kematian adalah lelaki sementara 19,091 kematian adalah perempuan.

 

Dalam tempoh sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian (15.4%) manakala Wilayah Persekutan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian (0.1%).

 

"Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh COVID-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2020.

 

"Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat COVID-19 dicatatkan oleh kumpulan umur 65-60 tahun dan diikuti kumpulan umur 70 hingga 74 tahun.

 

"Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 1,236 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya empat kematian," ujar beliau lagi. - DagangNews.com