PADA 9 Oktober 2023, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal dikenali sebagai PLKN 3.0.
Pengendalian modul PLKN 3.0 ini meliputi dua fasa pelaksanaan di mana fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan empat melalui penyertaan pelajar di dalam badan beruniform.
Manakala fasa kedua bermula apabila pelajar selesai menjalani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal dijalankan di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara.
Beliau juga menyatakan bahawa kos pelaksanaan program yang dicadangkan ini tidak melebihi RM100 juta setahun dan ini menjimatkan kos pelaksanaan berbanding program PLKN sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan modul literasi kewangan dimasukkan dalam program PLKN 3.0. Modul ini dilihat amat penting kepada generasi baharu dalam menghadapi cabaran kewangan masa depan.
Berikut beberapa kelebihan pelaksanaan modul literasi kewangan di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0:
Meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan di peringkat awal
Pengenalan pengurusan kewangan dalam kalangan generasi baharu perlu bermula di peringkat awal.
Ini dapat membantu mereka memahami kepentingan kewangan yang akhirnya dapat menguruskan perbelanjaan secara bijaksana. Pendedahan ini dapat mengelakkan generasi baharu terlibat dalam permasalahan dan tekanan kewangan.
Mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran dunia nyata
Peningkatan kos sara hidup saban tahun merupakan cabaran utama bagi setiap generasi. Kesedaran awal yang wujud dalam generasi baharu dapat mempersiapkan mereka agar mampu menguruskan kewangan dengan teratur.
Perancangan perbelanjaan perlulah seimbang dengan pendapatan setiap individu agar tidak mewujudkan tahap keberhutangan yang tinggi di masa depan. Modul literasi kewangan ini dapat menerapkan disiplin dan rasa tanggungjawab mereka.
Disiplin yang tinggi dalam mengawal perbelanjaan harian melahirkan individu yang berjimat cermat dan seterusnya mempunyai simpanan tetap untuk masa depan.
Mempertingkatkan kemahiran membuat keputusan
Di dalam pengurusan kewangan, setiap individu perlu peka dengan kepelbagaian risiko kewangan yang memerlukan generasi berkemahiran dan berilmu. Kesilapan dalam membuat keputusan boleh meningkatkan risiko kehilangan wang simpanan atau terjerumus dalam kenaikan kadar faedah yang tinggi.
Kurikulum modul perlu dimasukkan dengan kebaikan dan keburukan sesebuah pelaburan masa hadapan samada bagi jangka masa pendek atau panjang.
Perbandingan awal perlu dibuat agar keputusan yang dibuat mengurangkan risiko kerugian sesebuah instrumen kewangan.
Mengurangkan jurang perbezaan ekonomi
Ketidaksamaan dalam kewangan dan pendidikan menyebabkan perbezaan jurang ekonomi.Generasi baharu perlu sedar bahawa kelayakan pendidikan dan kemahiran kewangan mereka mempengaruhi tahap sosio-ekonomi di masa depan. Peningkatan tahap sosio-ekonomi secara tidak langsung meningkatkan perlindungan sosial individu, keluarga dan negara.
Memupuk semangat keusahawanan
Modul literasi kewangan ini boleh membuka ruang kepada generasi baharu meneroka peluang keusahawanan. Dengan pendedahan kemahiran pengurusan kewangan, ia dapat memupuk semangat keusahawanan yang membawa kepada individu produktif dan inovatif di masa hadapan.
Tahap literasi kewangan yang baik dapat mengurangkan kebergantungan individu kepada kerjaya makan gaji. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa individu perlu mengubah mentaliti bahawa kerjaya keusahawanan adalah lebih baik berbanding kerjaya makan gaji.
Oleh itu, kurikulum modul literasi kewangan PLKN 3.0 perlu dibuat secara terperinci yang melibatkan pelbagai pihak seperti institusi pendidikan dan institusi kewangan.
Kerajaan perlu memastikan modul ini dapat dilestarikan agar dapat melahirkan generasi baharu yang celik kewangan.
Cadangan modul yang boleh diterapkan adalah seperti asas simpanan wang, matlamat kewangan individu, bajet kewangan individu, pelaburan masa depan, risiko kewangan, perkhidmatan perbankan dan asas keusahawanan.
Diharapkan program PLKN 3.0 yang mempunyai modul literasi kewangan ini mewujudkan pembentukan disiplin diri serta pemantapan kemahiran kewangan bagi generasi baharu.
Semoga pelaksanaan program ini dapat memperkasakan ekonomi negara dan secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup rakyat. - DagangNews.com