Kelemahan eksport China jejaskan syarikat E&E Malaysia, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kelemahan eksport China jejaskan syarikat E&E Malaysia, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Dis – Kelemahan eksport China yang jatuh 8.7% pada November kemungkinan akan menjejaskan syarikat elektrik dan elektrikal (E&E) Malaysia. 

 

Selain eksport, data juga menunjukkan import China susut 10.6% pada bulan tersebut selepas eksport dan import masing-masing menguncup 0.3% dan 0.7% pada Oktober 2022.

 

Eksport China ke ASEAN, yang kini menjadi destinasi eksport utama meningkat 2.9% tahun ke tahun pada November. Tetapi, eksport ke Amerika Syarikat (AS) menjunam 13.2% pada bulan berkenaan.

 

Menurut AmBank Group Research, walaupun eksport China ke ASEAN adalah positif, namun rantau ini lebih merupakan rantaian bekalan bersama daripada destinasi eksport barangan akhir.

 

Katanya, eksport terakhir ke AS dan Eropah adalah lemah, terutamanya ke AS dan ini mungkin bermakna inventori akan mula bertimbun kerana jualan barangan akhir lemah.

 

"Import dari Taiwan menguncup 10.4% tahun ke tahun pada November diseret oleh import alat ganti dan bahan mentah untuk mengeluarkan produk E&E. 

 

"Jika kami menggunakan ini sebagai asas untuk potensi eksport China, ia menunjukkan eksport mereka akan lemah, melaporkan pertumbuhan negatif.

 

"Dengan segmen E&E dijangka lemah, ini mungkin memberi sedikit impak kepada syarikat Malaysia yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan China dalam segmen ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Firma itu berkata, sebagai contoh, eksport telefon pintar jatuh sebanyak 9.6% tahun ke tahun pada November dan ini mungkin sebahagiannya disebabkan gangguan bekalan di China dan lebih banyak permintaan yang lemah di AS dan Eropah.

 

Situasi ini menunjukkan pemain semikonduktor Malaysia yang bergantung pada rantaian bekalan China dalam bidang elektronik pengguna berkemungkinan mengalami sedikit halangan pada masa hadapan terutamanya disebabkan permintaan yang lemah.

 

"Tetapi bagi syarikat tempatan Malaysia yang telah mula mempelbagaikan pendedahan mereka kepada kenderaan elektrik (EV) di mana kami melihat potensi pertumbuhan yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka kemungkinan mengatasi sebarang kejutan buruk yang datang daripada permintaan yang lebih perlahan dari China terutama dalam segmen elektronik pengguna," jelasnya.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, eksport China menguncup lebih cepat sebanyak -8.7% tahun ke tahun pada November, menandakan bulan kedua penurunan berturut-turut dan aktiviti perdagangan serta perniagaan yang lebih lemah pada suku akhir tahun.

 

Menurutnya, penurunan itu adalah terpantas sejak Februari 2020 apabila ekonomi terjejas akibat sekatan ketat COVID-19 lebih 2 tahun lalu, terutamanya mencerminkan eksport yang lebih lemah ke AS (-25.4%), EU (-10.6%), Korea Selatan (-11.9%) dan Jepun (-5.6%).

 

Melihat kepada import, penghantaran masuk ke China juga jatuh lebih cepat pada -10.6% tahun ke tahun, penurunan terpantas sejak Mei 2020.

 

"Ini juga menunjukkan betapa ketatnya sekatan COVID-19 telah menjejaskan perbelanjaan pengguna dan juga pembelian China bagi barangan import.

 

"Pada masa sama, ia turut memberi isyarat prestasi eksport Malaysia dijangka perlahan pada November 2022, dengan mengambil kira permintaan lemah dari China dan juga menunjukkan permintaan global yang lemah berikutan penurunan eksport China," katanya. - DagangNews.com