Kelemahan kuasa membeli pengguna diunjur jejas permintaan pembedahan kosmetik Optimax, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kelemahan kuasa membeli pengguna diunjur jejas permintaan pembedahan kosmetik Optimax, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - Optimax Holdings Berhad dijangka menerima kesan buruk terhadap permintaan pembedahan melibatkan kosmetik sekiranya berlaku kelemahan ketara dalam sentimen dan kuasa membeli pengguna.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu juga terdedah kepada risiko lain seperti lonjakan dalam kes COVID-19, influenza dan penyakit berjangkit lain.

 

"Pendapatan kumpulan itu juga akan terjejas sekiranya berlaku kelewatan atau pembatan dalam pelan perkembangan mereka dan juga risiko reputasi serta penjenamaan daripada kecuaian amalan perubatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.8 juta bagi 3QFY23 menjadikan untung bersih bagi 9MFY23 kepada RM9.7 juta iaitu penyusutan sebanyak 11% dari tahun ke tahun.

 

Hasil 9MFY23 meningkat 4% manakala margin untung kasar sebanyak 38% adalah dalam anggaran 38.2% bagi tahun tersebut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung yang rendah itu disebabkan oleh kos pra-operasi dan kos kakitangan yang lebih tinggi untuk pengambilan lanjutan bagi pusat satelit/pusat jagaan ambulatori (ACC) bagi memastikan kesediaan kakitangan, serta jangkauan lebih lanjut mengenai perniagaan pembedahan plastik. 

 

Katanya, jumlah pembedahan katarak dan plastik bagi 9MFY23 selaras dengan unjuran firma itu sebanyak 72%/75% daripada anggaran FY23.

 

"Optimax kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap bilangan pembedahan yang berdaya tahan dan prospek pengembangan yang menggalakkan di peringkat domestik dan ASEAN bagi FY23 dan FY24.

 

"Mereka menyasarkan Kemboja dan Vietnam sebagai sasaran utama untuk pengembangan perniagaan selain meanfaatkan peningkatan peluang bagi prosedur pembedahan Lasik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham.- DagangNews.com