Kelemahan ringgit pengaruhi prospek Amway yang diunjur lemah pada separuh kedua | DagangNews Skip to main content

Kelemahan ringgit pengaruhi prospek Amway yang diunjur lemah pada separuh kedua

Prestasi Amway sangat sensitif dengan perubahan kadar tukaran asing memandangkan kebanyakan produknya dalam dolar AS. - Gambar : Facebook Amway Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ketidaktentuan ekonomi terutamanya tekanan inflasi dijangka menjejaskan prospek Amway (M) Holdings Bhd. pada separuh kedua 2022. 

 

Menurut Kenanga Research, prospek Amway kekal mencabar kerana model perniagaannya mengimport barangan untuk dijual, gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos pengangkutan yang boleh menyebabkan kos kumpulan meningkat.

 

Katanya, kumpulan pada masa sama dijangka berdepan pemampatan margin berikutan tekanan inflasi semasa yang tinggi. 

 

"Selain itu, kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga membimbangkan. Ini kerana prestasi kumpulan sangat sensitif dengan perubahan kadar tukaran asing memandangkan kebanyakan produknya dalam dolar AS tetapi dijual dalam ringgit.

 

"Dengan kelemahan ringgit, ia bermakna kos perolehan kepada kumpulan adalah tinggi dan seterusnya menghakis marginnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, untung bersih Amway melonjak hampir 91% kepada RM14.98 juta daripada RM7.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong kenaikan harga dan normalisasi insentif jualan Amway Business Owner (ABO).

 

Bagaimanapun, pendapatannya bagi suku berkenaan adalah mendatar pada RM354.62 juta daripada RM355.91 juta. 

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya meningkat 25.7% kepada RM35.15 juta manakala pendapatan meningkat 5.11% kepada RM745.85 juta.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan unjuran terhadap Amway tetapi menyemak turun harga sasarannya kepada RM5.20 daripada RM5.30 sesaham sebelum ini. 

 

Namun, firma itu mengekalkan pandangan 'market perform' dengan risiko kepada penarafan bergantung kepada kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS yang lebih kukuh dan jumlah jualan yang lebih lemah berikutan inflasi kekal tinggi.

 

Setakat 11.24 pagi ini, harga saham Amway kekal tidak berubah pada RM5 dengan 41,200 saham diniagakan. - DagangNews.com