KUALA LUMPUR 21 Sept - Ketidaktentuan dalam landskap global dijangka mengurangkan momentum peningkatan prestasi perdagangan meskipun eksport Malaysia melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Menurut AmInvestment Bank Research, terdapat tanda-tanda awal berlakunya kelembapan dalam sektor pembuatan dengan tempahan baharu untuk eksport berkurangan manakala harga komoditi juga semakin menurun.
Katanya, kelembapan pertumbuhan global boleh menjejaskan prospek perdagangan Malaysia berikutan permintaan yang lebih lemah di tengah-tengah kenaikan inflasi global.
Ini juga disebabkan kemungkinan kelembapan mendadak di Amerika Syarikat (AS) ekoran langkah pengetatan monetari yang agresif dan kekurangan bahan mentah atau gangguan rantaian bekalan, selain pemulihan yang lemah di China berikutan sekatan terhadap COVID-19 awal tahun ini.
"Namun, kami menjangkakan eksport Malaysia tahun ini akan mencatat pertumbuhan antara 24% hingga 25% dengan jangkaan lebih perlahan pada separuh kedua 2022, terjejas akibat prospek ekonomi yang suram.
"Tetapi dengan purata Januari hingga Ogos pada 30.2%, untuk mencapai unjuran 2022 kami, baki purata eksport empat bulan adalah sekitar 11% hingga 13%. Ini kelihatan agak ketara," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Eksport Malaysia melonjak 48.2% kepada RM141.33 bilion pada Ogos 2022
Semalam, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, eksport Malaysia melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan, jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai itu, apabila berkembang 30.3% kepada RM1.014 trilion pada Ogos 2022.
Pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.
Perdagangan melonjak 56.7% kepada RM265.74 bilion pada Ogos 2022 berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-19 bulan berturut-turut.
Eksport meningkat 48.2 peratus kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut manakala import melonjak 67.6% kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berkurang 19.9 peratus kepada RM16.92 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, perdagangan meningkat 33.1% kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, MIDF Research meningkatkan unjuran pertumbuhan eksport dan import negara bagi 2022, masing-masing kepada 22.4% dan 29.5%.
Firma itu mengekalkan andaian bahawa peningkatan harga komoditi dan permintaan luaran yang semakin bertambah bagi produk E&E dan komoditi (petroleum dan minyak sawit), menyokong pertumbuhan eksport pada tahun ini.
Sementara itu, katanya, pembukaan semula ekonomi dan permintaan domestik yang meningkat, menyumbang kepada lonjakan import.
"Namun, kami berhati-hati dengan prospek perdagangan yang mungkin dijejaskan oleh beberapa risiko penurunan seperti pertumbuhan ekonomi global yang lemah dalam keadaan peningkatan inflasi global, jangkaan berlakunya kemelesetan di AS dan Eropah, pemulihan yang perlahan di China serta ketegangan geopolitik yang meningkat," jelasnya. - DagangNews.com