Kelembapan industri semikonduktor global dijangka jejas pendapatan ECA Integrated Solution, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kelembapan industri semikonduktor global dijangka jejas pendapatan ECA Integrated Solution, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kelembapan dalam industri semikonduktor global yang dijangka berlarutan sehingga separuh pertama 2024 dilihat mendatangkan risiko kepada pendapatan ECA Integrated Solution Berhad.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, pemulihan dalam industri itu hanya dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini.

 

"Bagi mengurangkan pendedahan risiko, kumpulan itu menyasarkan untuk mempelbagaikan pengenalan produk inovatif dan pada masa sama memberi fokus kepada peningkatan kecekapan operasi serta pengembangan saiz pasaran," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengakhir FY23 dengan pendapatan teras sebanyak RM10.8 juta, peningkatan 21.3% dari tahun ke tahun diterajui sumbangan lebih kukuh daripada sistem pengeluaran bersepadu dan segmen peralatan automatik kendiri.

 

Walaupun berjaya mencatatkan keputusan positif namun ia gagal mencapai sasaran tahun penuh kami dengan hanya 74%.

 

Keputusan lebih lemah itu disebabkan perbelanjaan yang lebih perlahan oleh pelanggan akhir terutamanya dalam segmen semikonduktor dan automotif pada suku akhir serta perbelanjaan jualan dan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada suku terakhir, hasil kumpulan menguncup kepada RM4.7 juta berbanding daripada RM7.9 juta kesan jualan yang lebih lemah daripada segmen sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automasi kendiri.

 

Katanya, kumpulan hanya memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM14,000 berbanding RM2.9 juta bagi tempoh yang sama setahun lalu.

 

Margin untung kasar kasar susut kepada 29.7% berbanding daripada 56.4% disebabkan perubahan yang dibuat pada campuran produk pada peringkat kemudian serta peningkatan dalam perbelanjaan jualan dan pentadbiran.

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 73 sen berbanding RM1.12 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com