Kelewatan pelancaran rangkaian 5G kedua jadi penghalang kepada penambahan buku pesanan OCK Group | DagangNews Skip to main content

Kelewatan pelancaran rangkaian 5G kedua jadi penghalang kepada penambahan buku pesanan OCK Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Kelewatan berterusan pelancaran rangkaian 5G kedua Malaysia dan Rangkaian Digital Nasional (Jendela) Fasa 2 dijangka menjadi penghalang kepada OCK Group Bhd meningkatkan buku pesanan.

 

Kenanga Research berkata, keadaan itu akan membuatkan prospek dan keterlihatan pendapatan kumpulan terhad melainkan OCK mengimbangi keadaan itu dengan mendapatkan projek utama lain pada kadar segera.

 

"Selain itu, kemerosotan nilai belum terima menimbulkan kebimbangan tentang potensi risiko masa depan, termasuk kemerosotan aset menaranya dan mengurangkan sumbangan pendapatan jika penyewa ingkar membayar pajakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Terdahulu, syarikat itu melaporkan keuntungan teras 2QFY24 selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM7.6 juta, penurunan sebanyak 26% dari tahun ke tahun dan 25.5% suku tahun ke suku tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu menjadikan PATAMI teras 1HFY24 kepada RM17.8 juta,

 

Katanya, keputusan 1HFY24 yang mengecewakan itu disebabkan oleh hasil yang lebih lemah pada segmen perkhidmatan rangkaian telekomunikasi (TNS).

 

"Kami percaya ini mungkin disebabkan oleh pelancaran rangkaian 5G yang lebih perlahan di Malaysia," katanya.

 

Kenanga Research berkata, OCK mengiktiraf kerugian rosot nilai yang besar sebanyak RM7.6 juta ke atas penghutang dagangan pada 2QFY24.

 

"Kami menganggap ia sebagai item bukan teras yang luar biasa kerana OCK jarang menjejaskan penghutangnya, seperti yang terbukti daripada rekod prestasi yang kukuh.

 

"Ini berpunca daripada pembayaran yang stabil dan berulang yang diterima daripada penyewa telekomunikasi utama untuk pajakan penyewaan menara," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 60 sen sesaham berbanding 86 sen.

 - DagangNews.com