Kelewatan penyaluran pembiayaan SPIM disebabkan isu teknikal | DagangNews Skip to main content

Kelewatan penyaluran pembiayaan SPIM disebabkan isu teknikal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb - Kelewatan memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) disebabkan isu teknikal yang timbul ketika proses naik taraf sistem permohonan dalam talian.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan dalam talian itu bagi menampung jumlah permohonan yang terlalu tinggi.

 

"Pihak TEKUN mengambil langkah mengatasi isu itu, antaranya menyalurkan pembiayaan secara manual melalui cetakan cek diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN cawangan di seluruh negara kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilakukan ekoran gangguan teknikal itu," katanya dalam kenyataan.

 

Adam berkata, sehingga kini, TEKUN menyalurkan pembiayaan berjumlah RM105 juta kepada 12,774 usahawan menerusi SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dengan dana elektronik serta penyaluran pembiayaan dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya akhir bulan ini.

 

SPIM dengan peruntukan dana berjumlah RM200 juta adalah pembiayaan untuk usahawan informal dan mikro sebagai suntikan modal pusingan bagi memulih serta memulakan semula perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

 

Melalui SPIM, usahawan ditawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun dan moratorium selama 12 bulan. Permohonan skim itu dibuka pada 1 hingga 15 Januari lalu.

 

Adam berkata, TEKUN Nasional menerima permohonan terlalu tinggi pada masa singkat untuk pembiayaan SPIM itu dan dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun sudah habis dalam tempoh dua minggu, lapor Bernama.

 

 

tekun

 

 

Beliau berkata, sebanyak 23,767 permohonan diterima untuk SPIM dan setakat Selasa lalu, sebanyak 15,880 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.3 juta. - DagangNews.com