Kelington berpotensi raih pendapatan teras lebih tinggi, RHB Research kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Kelington berpotensi raih pendapatan teras lebih tinggi, RHB Research kekal saranan 'beli'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jun - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Kelington Group Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.60 berbanding RM1.50 sebelum ini.

 

Firma itu berkata, penarafan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan kumpulan yang berpeluang cerah untuk meraih pendapatan teras lebih tinggi bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022.

 

Selain itu, mereka juga dilengkapi dengan tempahan semasa melebihi 59% atau RM1.2 bilion dan masih terdapat beberapa kerja yang sedang dalam perancangan. 

 

Firma itu berkata, tempahan semasa Kelington berada pada paras RM1.4 bilion dengan Singapura menyumbang bahagian terbesar (kira-kira RM1.1 bilion) diikuti Malaysia (RM200 juta) dan China (RM100 juta).

 

Firma itu berkata, antara 60% ke 70% daripada tempahan kumpulan itu adalah melibatkan kerja-kerja ultra-high purity (UHP)

 

"Kami mendapati terdapat kerja-kerja tambahan yang akan memberi sumbangan tambahan antara RM300 juta hingga RM400 juta dari China yang berpotensi untuk diraih secara berperingkat bagi FY23.

 

"Daripada tempahan tertunggak RM1.24 bilion (sehingga suku pertama berakhir 31 Mac 2021), 46% kerja-kerja itu adalah dari Singapura (RM569 juta) manakala Malaysia menyumbang sebanyak 41% (RM512 juta).

 

"Selain itu, ia juga melibatkan kerja-kerja kontrak am berjumlah RM420 juta di Sarawak yang dijangka memuncak pada separuh kedua berakhir pada 31 Disember 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan keputusan 1QFY22, pihaknya mengunjurkan peningkatan pendapatan untuk FY22 hingga FY24 antara 4% hingga 6% selepas mengambil kira tambahan tempahan semasa. - DagangNews.com