Kelington dijangka manfaatkan pengembangan kilang fabrikasi wafer global | DagangNews Skip to main content

Kelington dijangka manfaatkan pengembangan kilang fabrikasi wafer global

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Malacca Securities menjangkakan Kelington Group Berhad menggunakan kelebihan mereka selaku pakar kerja-kerja ketulenan ultra tinggi (UHP) bagi memanfaatkan pengembangan kilang fabrikasi wafer global yang kukuh.

 

Firma itu berkata, permintaan yang perlahan untuk cip bagi produk pengguna seperti telefon pintar dan komputer akan diimbangi permintaan kukuh daripada pusat data besar, kenderaan elektrik (EV), aplikasi IoT dan teknologi 5G.

 

Katanya, walaupun terdapat kelemahan dalam industri semikonduktor dengan jualannya menurun sebanyak 0.5% dari bulan ke bulan pada September 2022, namun pengembangan loji fabrikasi wafer kekal agresif.

 

Firma itu berkata, GlobalWafers Co Ltd Taiwan komited untuk membelanjakan AS$5 bilion (RM23.73 bilion) untuk membina kilang baharu di Texas, manakala SK Siltron dari Korea Selatan akan melabur AS$1.63 bilion (RM7.74 bilion) untuk pengembangan kilang wafer semikonduktornya dalam tempoh lima tahun.

 

"Prospek Kelington kekal memberangsangkan kerana KGB dilengkapi dengan nilai kontrak tertunggak kira-kira RM2.22 bilion.

 

"Ini memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, dua anak syarikat milik penuh Kelington meraih kontrak baharu dengan nilai gabungan RM262 juta.

 

Kelington Technologies Sdn Bhd memperoleh kontrak berjumlah RM170 juta daripada pembekal terkemuka perkhidmatan penyimpanan untuk cecair dan gas pukal.

 

Kontrak itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan tangki simpanan produk minyak untuk projek pembesaran lubang tangki di Pelabuhan Klang sehingga Oktober 2024.

 

Kelington Engineering (Shanghai) Co Ltd telah dianugerahkan kontrak RM92 juta daripada syarikat reka bentuk dan pembuatan bersepadu yang mengkhusus dalam memori akses rawak dinamik di China untuk bekalan bahan dan pemasangan sistem penghantaran gas pukal di Beijing sehingga September 2023.

 

Firma itu berkata, walaupun nilai kontrak melebihi unjuran yang ditetapkan namun mereka kekal dengan unjuran pendapatan kumpulan yang akan direalisasikan pada FY23.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com