Kelington Group raih kontrak RM114 juta bina kemudahan pengeluaran semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Kelington Group raih kontrak RM114 juta bina kemudahan pengeluaran semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Kelington Group Berhad berjaya meraih kontrak bernilai RM114 juta untuk bina kemudahan pengeluaran semikonduktor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Kelington Technologies Sdn. Bhd. menandatangani kontrak pembinaan dengan pengeluar elektronik dan semikonduktor multinasional Perancis-Itali bagi mereka bentuk dan membina sebuah bangunan baharu merangkumi kawasan pengeluaran, kilang utiliti elektrik dan mekanikal serta bangunan letak kereta bertingkat untuk kilang sedia ada di Johor.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut bernilai hampir RM114 juta, bergantung kepada kerja yang dibuat, variasi tempahan, pilihan skop dan nilai kejuruteraan.

 

Kerja-kerja pembinaan itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang Disember 2023.

 

Kelington Group berkata, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata, selain daripada pasaran antarabangsa, firma itu terus melihat peluang yang banyak di Malaysia kerana negara ini kekal sebagai destinasi pelaburan utama untuk syarikat elektronik dan elektrik antarabangsa.

 

"Sementara itu, jumlah tempahan terus meningkat ketika syarikat fokus untuk mendapatkan lebih banyak kontrak, terutama projek ultra-high purity (UHP) di Singapura yang mewakili sebahagian besar nilai tender.

 

"Tempahan sedia ada kami, ditambah dengan jangkaan perolehan kontrak baharu, meletakkan prestasi kewangan syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk baki tahun ini," katanya.

 

Termasuk kontrak terkini yang dimenanginya itu, KGB memperoleh tempahan baharu bernilai RM700 juta setakat tahun ini.

 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kontrak dalam tangan KGB mencecah RM1.6 bilion setakat pertengahan Jun 2022. - DagangNews.com