Kellee Kam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank yang baharu | DagangNews Skip to main content

Kellee Kam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank yang baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Alliance Bank Malaysia Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Kellee Kam Chee Khiong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa 1 September 2022 bagi menggantikan Joel Kornreich yang akan tamat kontrak pada 31 Ogos 2022.

 

Pengerusi Alliance Bank, Tan Sri Ahmad Don berkata, pihaknya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah mengucapkan tahniah kepada Kelle atas pelantikannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank yang baharu.

 

"Kami yakin Kellee mampu untuk menerajui bank ini dan membawanya ke tahap yang lebih baik selain memastikan institusi ini selamat daripada sebarang cabaran pada masa akan datang," katanya dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kellee berusia 48 tahun menyertai Alliance Bank selepas mengundurkan diri selaku Pengerusi dan Pengarah Bebas di Bank of America Malaysia Berhad selepas berkhidmat sejak 2016.

 

Beliau memiliki pengalaman lebih 23 tahun dalam industri perbankan dan pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group bermula 2011 hingga 2015 selain pernah menjawat pelbagai jawatan bersama bank itu termasuk Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Ketua Strategi dan Kewangan Korporat Kumpulan.

 

Kellee mengakui sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Alliance Bank.

 

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Joel Kornreich kerana berjaya mengetuai bank ini untuk berhadapan cabaran COVID-19 dan meletakkannya di landasan yang baik.

 

"Saya komited untuk terus membina asas yang kukuh untuk Alliance Bank bagi memastikannya terus berkembang secara progresif pada masa akan datang," katanya.

 

Sementara itu, Kornreich berkata, beliau berbesar hati kerana dapat mencurahkan khidmat bakti selama lebih tujuh tahun bersama Alliance Bank dan bersama-sama membina pasukan yang kukuh.

 

"Saya sangat berterima kasih kerana firma ini memberi kepercayaan dan saya juga berterima kasih kepada pasukan di Bank Negara kerana membantu kami dengan cara yang cukup profesional dan menjadikan kami lebih baik," katanya. - DagangNews.com