Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Dis - Kenanga Research mengulangi saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi bagi suku pertama 2022 berikutan pengembangan secara agresif dalam kalangan pemain industri semikonduktor.
Firma itu memilih 3 saham utama yang dilihat meraih manfaat dalam sektor ini berdasarkan kedudukan kewangan yang kukuh sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.
Ia memberi saranan 'outperform' kepada Kellington Group Bhd., Inari Amerton Bhd. dan GHL Systems Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada RM2.50, RM4.40 dan RM2.30.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Samuel Tan berkata, Inari misalnya baru-baru ini membentuk kerjasama dengan China Fortune-Tech Capital Co.Ltd dengan pelaburan 463 juta yuan (kira-kira RM299 juta) untuk membina kilang di China bagi menawarkan perkhidmatan berkaitan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT).
"Kami menyukai Inari kerana kedudukan kukuhnya dalam ruang 5G dan usaha berterusan mengembangkan pendedahan dalam pasaran pusat data dan automotif.
"Dengan penyertaan dalam indeks FBM KLCI dan MSCI Global Standard, Inari akan memperoleh lebih banyak tumpuan daripada dana institusi asing," katanya.
Malah, beliau juga percaya, penurunan harga saham Inari baru-baru ini juga adalah tindak balas yang berlebihan memandangkan inisiatif Apple baru-baru ini untuk mengukuhkan sistem sambungan tanpa wayar dalaman disasarkan kepada modem 5G dan bukannya menggantikan pembekal frekuensi radio (RF) sedia ada.
Selain itu, katanya, Western Digital turut memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk membangunkan kilang baharu di Sarawak manakala Intel pula mencadangkan RM30 bilion pelan pengembangan di Pulau Pinang yang dijangka menyediakan 4,000 peluang pekerjaan apabila siap pada 2024.
Di Singapura pula, terdapat banyak pengembangan hebat daripada GlobalFoundries, Micron dan Siltronic apabila pemain terus meningkatkan belanjawan dalam usaha untuk menyelesaikan situasi kekurangan cip.
"Daripada 5 nama yang dinyatakan ini, Kellington memperoleh pesanan daripada 4 syarikat, sekali gus mengukuhkan analisis pelaburan terhadap kumpulan sebagai proksi utama dalam pengembangan semikonduktor yang dijangka berterusan dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.
"Oleh itu, kami kekal optimis dengan prestasi suku keempat ini dan juga tahun kewangan 2022 (FY22) selepas kumpulan memperoleh kontrak bernilai RM195 juta pada Disember sahaja, menjadikan nilai kontrak diperoleh tahun ini sebanyak RM1.18 bilion dengan buku pesanannya melonjak sehingga RM1.23 bilion," katanya.
Sementara itu, bagi GHL, ia terus menyaksikan peningkatan jumlah transaksi sejak pertengahan tahun ini dan trend ini dijangka berterusan memandangkan terdapat keperluan dalam pembayaran digital bagi memastikan peniagan kekal relevan dalam persekitaran pandemik.
"Dengan musim perayaan pada suku berkenaan, kami optimis pertumbuhan suku ke suku dalam prestasi suku keempat ini, disokong perbelanjaan pengguna yang tinggi dan kebenaran rentas negeri," jelasnya.
Tambahan pula, pembukan semula pelancongan antarabangsa akan memberi kelebihan kepada GHL yang sudah mempunyai kehadiran kukuh di rantau ASEAN.
Mengenai pelaksanaan Cukai Makmur, Tan berkata, ia hanya menyaksikan kesan minimum sekitar 1 hingga 3% bagi saham di bawah liputannya. - DagangNews.com