Keluaran tandan buah segar FGV susut 17% disebabkan kekurangan pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Keluaran tandan buah segar FGV susut 17% disebabkan kekurangan pekerja asing

 

KUALA LUMPUR 30 Nov – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan penurunan 17% bagi pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil masing-masing kepada 1.12 juta MT dan 4.43 MT/Ha pada S3 TK2021 berbanding suku yang sama tahun lepas.

 

Ini berpunca daripada kekurangan pekerja asing dan penutupan operasi akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Sementara itu, pengeluaran MSM Kumpulan menurun sebanyak 14% tahun ke tahun kepada 0.74 juta MT bagi suku yang dikaji, berikutan penurunan TBS yang diproses.

 

Kadar perahan minyak (OER) bagaimanapun, meningkat sedikit iaitu sebanyak 2% kepada 20.74% pada S3 TK2021 berbanding 20.35% pada suku yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan prestasi kilang disumbang oleh kawalan proses yang ketat.

 

TBS diproses yang lebih rendah pada S3 TK2021 telah menyebabkan kos pemprosesan menjadi lebih tinggi dan menyumbang kepada kenaikan kos MSM ke pintu kilang sebanyak 16% kepada RM1,646/MT berbanding RM1,422/MT pada S3 TK2020.

 

Faktor penggunaan (UF) menurun kepada 71% pada suku yang dikaji berbanding 84% pada tempoh yang sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 15% disebabkan penerimaan TBS yang lebih rendah dan penutupan mandatori kilang tertentu semasa PKP.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, walaupun isu kekurangan buruh yang berpanjangan dan gangguan operasi akibat pandemik COVID-19 yang terus menjejaskan produktiviti Kumpulan, kami menjangkakan keadaan akan pulih bermula dari S2 TK2022.

 

‘’Ini berikutan pengumuman oleh Kerajaan baru-baru ini untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing ke negara ini yang akan meningkatkan liputan buruh di ladang kami yang kini hanya 70% daripada jumlah keseluruhan keperluan syarikat,” kata Mohd Nazrul.


 

Mohd Nazrul Izam Mansor
Mohd Nazrul Izam Mansor

 


Sehubungan dengan itu kata beliau, program vaksinasi FGV yang diperluas untuk pekerja asing kami di seluruh negara juga berjalan dengan lancar.

 

FGV menjangkakan untuk mencapai 100% dua dos lengkap untuk semua pekerja tidak lama lagi bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat di ladang-ladang syarikat itu.

 

“Melangkah ke hadapan, selaras dengan komitmen kami untuk menjadi syarikat sifar bersih menjelang 2050, kami sedang memulakan pelan tindakan perubahan iklim bagi keseluruhan Kumpulan di seluruh operasi kami bagi menangani perubahan iklim.

 

‘’Oleh itu, kami telah membangunkan pelan tindakan perubahan iklim bersepadu berdasarkan enam faktor strategik utama: pengurusan risiko dan tadbir urus iklim, pengurusan karbon, kecekapan operasi, pengurusan bahan buangan, pengurusan air dan kesedaran tentang perubahan iklim,” kata Mohd Nazrul.

 

FGV mencatat lonjakan ketara keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.02 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9B TK2021), berbanding RM27 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pendapatan Kumpulan meningkat 33% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM13.39 bilion, manakala keuntungan operasi juga meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM1.16 bilion tahun ke tahun pada 9B TK2021.

 

Mohd Nazrul berkata, peningkatan prestasi operasi Kumpulan bagi 9B TK2021 adalah didorong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, margin keuntungan kasar yang lebih tinggi untuk Sektor Gula, serta jumlah pemprosesan dan caj pengendalian yang lebih tinggi untuk Sektor Logistik.

 

Secara keseluruhan, bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2021 (S3 TK2021), FGV mencatatkan keuntungan operasi suku tahunan tertinggi sejak penyenaraian syarikat sebanyak RM636 juta berbanding RM322 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Sektor Perladangan FGV, perniagaan utama Kumpulan yang membentuk majoriti perniagaannya menyaksikan prestasi positif pada S3 TK2021 dengan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM585 juta dengan pendapatan sebanyak RM4.68 bilion, masing-masing meningkat sebanyak 56 peratus dan 41% didorong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan jumlah baja yang lebih baik.

 

Keuntungan operasi bagi segmen huluan FGV di bawah Sektor Perladangan meningkat kepada RM548 juta bagi suku yang dikaji, kenaikan 54% berbanding RM356 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Prestasi ini disumbangkan oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan harga purata MSM yang lebih tinggi iaitu RM3,798 setiap tan metrik (MT).


 

fgv

 


Selain itu, Sektor Gula di bawah anak syarikat tersenarai awam 51% milikan FGV, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Group) meneruskan momentum kukuhnya dengan mencatatkan lonjakan keuntungan operasi sebanyak RM36 juta bagi suku yang dikaji berbanding kerugian operasi sebanyak RM6 juta pada S3 TK2020 berikutan peningkatan purata harga jualan gula dan keuntungan pembubaran lebihan lindung nilai gula mentah.

 

FGV juga menyaksikan Sektor Logistiknya mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM25 juta pada S3 TK2021, peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding RM20 juta pada suku yang sama sebelumnya. Ini disebabkan oleh kadar pengendalian purata yang lebih tinggi dan peningkatan dalam jumlah keseluruhan kendalian bagi Sektor tersebut. – DagangNews.com