Kelulusan IPO di Pasaran Utama, ACE dipercepatkan kepada 3 bulan, usaha tingkat daya tarikan Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kelulusan IPO di Pasaran Utama, ACE dipercepatkan kepada 3 bulan, usaha tingkat daya tarikan Bursa Malaysia

SC dan Bursa Malaysia bersama-sama menyatakan komitmen mempercepatkan tempoh kelulusan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kepada tiga bulan./Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Tempoh kelulusan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE akan dipercepatkan kepada tiga bulan.

 

Komitmen tersebut dinyatakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) untuk permohonan IPO baharu yang diterima mulai 1 Mac 2024.

 

Keputusan segera mengenai kelulusan dalam tempoh tiga bulan ini bagaimanpun bersandarkan jawapan memuaskan daripada Penasihat Utama/Penaja dalam tempoh lima hari pasaran bagi pertanyaan dan ulasan pengawal selia terhadap permohonan IPO.

 

"Ini di samping amalan pengawal selia sejak tahun 2021 di mana pertanyaan dan ulasan dikeluarkan dalam tempoh sepuluh hari pasaran berikutan permohonan IPO yang lengkap, serta mengutarakan pertanyaan dan ulasan seterusnya dalam tempoh lima hari pasaran untuk setiap pusingan maklum balas.

 

"Pengawal selia akan terus mengekalkan ketegasan dalam penilaian, tanpa menjejaskan perlindungan pelabur dan kepentingan awam.

 

"Berikutan kerjasama yang lebih kukuh antara pengawal selia dan pemain industri untuk menawarkan garis masa yang lebih jelas untuk penyenaraian bagi pemohon IPO yang layak, pengawal selia berharap dapat menarik syarikat berkualiti untuk disenaraikan, terutamanya dalam sektor yang menyokong dasar pertumbuhan negara, pelan tindakan atau pelan hala tuju," kata kenyataan bersama SC dan Bursa Malaysia hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, pasaran modal ekuiti Malaysia kekal sebagai asas pembiayaan bagi syarikat-syarikat dengan IPO menjana dana sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2023.

 

awang
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin

 

“Kami percaya tempoh masa kelulusan ini mampu memenuhi keperluan perniagaan dinamik syarikat yang ingin mengumpul dana dalam pasaran modal dan ia sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk kekal relevan dan berdaya saing kepada pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.

 

“Usaha kerjasama ini menandakan komitmen kami untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat, sekaligus memudahkan akses mereka kepada pasaran modal dengan lebih kepastian dan kecekapan,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, masa ke pasaran yang lebih kompetitif akan meningkatkan daya tarikan Bursa kepada syarikat yang ingin tersenarai di Malaysia. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Suruhanjaya Sekuriti beri lanjutan empat bulan bagi laporan tahunan Amanah Pelaburan Hartanah

 

 

swift
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift

 

"Kami berhasrat untuk menyediakan kemudahan holistik dan mesra pelanggan oleh pengawal selia dan Penasihat Utama/ Penaja, untuk memberi sokongan yang lebih baik kepada syarikat yang ingin mengumpul modal melalui IPO serta meningkatkan status sebagai syarikat tersenarai awam. 

 

"Pasaran ekuiti bersedia menyokong kitaran pengumpulan dana dan pelaburan, bagi mengembangkan perniagaan,” jelasnya.

 

Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) berkata, ia mengiktiraf kepentingan kerjasama yang lancar antara pengawal selia dan penasihat untuk memastikan proses penyenaraian yang lancar.

 

“Melalui kerjasama erat, kami boleh mempertahankan piawaian usaha wajar (due diligence), tadbir urus korporat dan pematuhan di tahap tertinggi, ke arah memudahkan masa ke pasaran yang lebih pantas untuk penerbit IPO,” kata Pengerusi MIBA, Lee Jim Leng.

 

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan yang ingin mendapatkan modal tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan ketelusan keseluruhan pasaran modal,” tambahnya.

 

SC dan Bursa Malaysia berkata penasihat dan profesional perlu mengekalkan piawaian usaha wajar untuk memastikan permohonan IPO berkualiti tinggi yang mematuhi garis panduan dan keperluan, pendedahan berkualiti, standard tadbir urus korporat yang tinggi, serta respons yang tepat pada masanya dan memuaskan kepada pertanyaan dan ulasan pengawal selia.

 

Langkah-langkah selanjutnya, termasuk modul latihan akan dibangunkan untuk menyokong profesional pasaran ke arah memenuhi objektif bersama, iaitu perjalanan yang lebih lancar ke IPO. - DagangNews.com