Kelulusan kerajaan bagi projek kapal perang elak LTAT berdepan 'malapetaka' kewangan | DagangNews Skip to main content

Kelulusan kerajaan bagi projek kapal perang elak LTAT berdepan 'malapetaka' kewangan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 April - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyambut baik keputusan Kabinet dalam meluluskan pelan pemulihan projek Kapal Tempur Pesisir  (LCS) yang secara langsung dapat melindungi dana daripada impak negatif akibat menanggung kerugian jika projek itu tidak dipulihkan segera. 

 

Ketua Eksekutifnya, Datuk Nazim Rahman berkata, sekiranya projek itu gagal diteruskan, kesan domino kewangan yang akan berlaku boleh mengakibatkan rosot nilai sehingga RM2.1 bilion iaitu 21% daripada keseluruhan jumlah dana persaraan yang diuruskan LTAT. 

 

Beliau berkata, jika ia berlaku LTAT tidak akan berupaya untuk terus memberikan pulangan kepada pencarum untuk sekurang-kurangnya enam tahun akan datang. 

 

"LTAT terdedah kepada potensi kerugian yang besar menerusi pegangan majoritinya dalam Boustead Holdings Berhad (BHB) sebanyak 59.4% dan 61% pegangan efektif dalam syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

 

"Kelulusan Kabinet ke atas pelan pemulihan projek LCS ini secara langsung telah mengelakkan ‘malapetaka’ kewangan kepada LTAT dan membolehkan LTAT terus memberi fokus kepada pemeliharaan modal dan peningkatan nilai dalam jangka panjang bagi memastikan kedudukan kewangan LTAT terus berada pada tahap yang baik. 

 

"Ini sudah pasti akan membolehkan LTAT memberi pulangan mampan dan kompetitif kepada pencarumnya yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, kabinet yang bermesyuarat semalam dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terdapat 400 vendor terlibat dalam projek tersebut dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

 

Nazim berkata, langkah proaktif LTAT bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, TLDM serta Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mencari jalan penyelesaian agar projek tersebut diteruskan telah mengambil kira kesemua aspek termasuk implikasi kewangan kepada kerajaan serta kaedah meningkatkan tadbir urus untuk menjamin kesemua kapal LCS akan disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan.

 

Katanya, LTAT terus komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan pelan pemulihan ini dapat direalisasikan demi kepentingan strategik negara. - DagangNews.com