Kelulusan ST baik pulih janakuasa hidro Sungai Perak tidak beri kesan ketara kepada TNB | DagangNews Skip to main content

Kelulusan ST baik pulih janakuasa hidro Sungai Perak tidak beri kesan ketara kepada TNB

TNB memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga pada Jumaat lalu membabitkan keseluruhan enam stesen janakuasa. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Okt - AmInvestment Bank positif dengan prospek Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berikutan kelulusan yang diterimanya daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membaik pulih loji janakuasa hidroelektrik Sungai Perak dengan kapasiti 650.75MW.

 

Malah, firma itu optimis syarikat utiliti itu mampu mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).

 

Ini membolehkannya mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.80 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan hasil daripada janakuasa tenaga hidro tidak terlalu ketara memandangkan kapasitinya hanya 650.75MW.

 

"Ia hanya merangkumi 4% daripada kapasiti penjanaan ekuiti TNB sebanyak 14,909MW. RE hanya menyumbang 3% daripada hasil TNB pada separuh pertama FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

TNB memperoleh kelulusan daripada ST pada Jumaat lalu membabitkan keseluruhan enam stesen janakuasa terdiri 18 unit akan melalui penambahbaikan di bawah program Lanjutan Jangka Hayat Hidro bermula FY24.

 

Unit pertama akan mula beroperasi pada FY25 di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) baharu selama 40 tahun.

 

Menurut AmInvestment, setakat Julai 2022, kapasiti RE (solar dan hidro) TNB berjumlah 3,794MW dengan kapasiti hidro ketika ini sebanyak 2,661MW. 

 

"Buat masa ini, RE tidak memberi sumbangan besar dari segi campuran penjanaan di Semenanjung Malaysia. 

 

"Pada suku kedua FY22, arang batu menyumbang 58% daripada campuran penjanaan di Semenanjung Malaysia diikuti gas (37%), hidro (4%), solar (1%) dan sulingan (0.3%)," katanya. - DagangNews.com