Kemahiran Hijau: Melahirkan tenaga mahir cakna Alam Sekitar | DagangNews Skip to main content

Kemahiran Hijau: Melahirkan tenaga mahir cakna Alam Sekitar

oleh Mogesh Sababathy

PERUBAHAN iklim bukan hanya sekadar sebuah ilmu teori tetapi kejadian yang nyata dan kian dirasai oleh penduduk bumi seperti peristiwa cuaca yang melampau, kenaikan paras laut, dan gelombang haba.

 

Dari segi sainsnya juga amat jelas, bukan baru tetapi sejak berdekad lamanya lagi. Pelbagai data dan statistik yang dihasilkan oleh para saintis dunia begitu eksplisit menunjukkan bahawa sekiranya tindakan yang cekap dan efisien tidak diambil dengan kadar segera, bumi ini tidak akan boleh diduduki lagi seawal masa kurang dari 50 tahun dari sekarang seperti yang dilaporkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

 

Hal ini juga selari dengan pernyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres baru-baru ini bahawa “era pemanasan global telah berakhir, era mendidih global telah tiba."

 

Hakikatnya kita telah lama mengetahui bahaya perubahan iklim dan telah lama bersedia untuk bertindak namun apa yang menghalang adalah kesanggupan dan kesungguhan diri kita sendiri. Kini, kita berada di persimpangan jalan yang memerlukan sebuah pilihan yang bijak.


 

Mogesh
       MOGESH SABABATHY

 


Tema Hari Belia Antarabangsa PBB tahun ini, 'Kemahiran Hijau untuk Belia,' amat sinonim dengan keperluan untuk melahirkan generasi muda dengan pengetahuan dan kepakaran untuk mengubah masa depan kita, menuju ke arah kelestarian alam dan kelangsungan bumi yang kita warisi.

 

Kemahiran hijau, merangkumi kepakaran dan pengetahuan teknologi bersih, pengurusan sumber, dan amalan lestari. Pekerjaan yang dapat dihasilkan dengan kemahiran hijau ini pula termasuklah pelbagai profesion yang bertujuan untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menangani perubahan iklim, yang terdapat dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, tenaga boleh diperbaharui, dan banyak lagi.

 

Daripada juruteknik tenaga boleh diperbaharui dan arkitek eko kepada penganalisis kelestarian dan petani organik yang berfungsi untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan pencemaran, menghadkan pelepasan gas rumah hijau, dan menyokong pemulihan ekosistem dengan mengutamakan kesihatan planet berbanding keuntungan jangka pendek.

 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menekankan bahawa ianya adalah penting untuk menyerlahkan bahawa aspek 'hijau' bukanlah semata-mata mengenai produk akhir sahaja tetapi ia juga melibatkan penggunaan proses pengeluaran yang mesra alam, seperti mengurangkan penggunaan air atau meningkatkan efisiensi sistem kitar semula seterusnya membentuk sebuah negara yang maju selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan.

 

Sektor industri di negara ini telah lama dikaitkan sebagai punca kemerosotan alam sekitar akibat pembangunan dan penggunaan sumber secara tidak mampan. Industri boleh, dan mesti, beralih ke arah membuat keputusan termaklum, amalan mampan, dan pekerjaan kolar hijau yang memacu kemajuan tanpa merosakkan bumi dan khazanahnya.

 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan bahawa industri perlu mencari jalan untuk meningkatkan amalan lestari dan menggesa sektor perindustrian di negara ini untuk mula memainkan peranan yang lebih besar dalam memerangi perubahan iklim dengan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah memacu ekonomi hijau.

 

Tanggungjawab korporat seharusnya melangkaui margin keuntungan. Dengan mempromosi pemacuan ekonomi mampan, kita dapat mengurangkan kemerosotan alam sekitar sambil memupuk pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih lestari.


 

parafrasa

 

Walaubagaimanapun transformasi ini bukanlah tanggungjawab pemain industri sahaja. Kerajaan juga harus memainkan peranan penting dengan memperkasakan rangka kerja dasar dan polisi yang sedia ada, serta sokongan dari segi kewangan dan mekanisme untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan pekerjaan hijau berkembang di negara ini.

 

Secara ringkas, pemain industri memerlukan dorongan, manakala masyarakat Malaysia khususnya golongan belia memerlukan tarikan ke arah pemerkasaan ekonomi hijau ini. Dalam era serba moden, anak-anak muda haruslah juga sedar bahawa kemahiran hijau adalah keperluan asas kehidupan bagi setiap manusia sekecil-kecil mana sekalipun usaha kita untuk memastikan kelangsungan bumi ini terus terpelihara.

 

Antara beberapa cara kita boleh mengasah kemahiran hijau dalam diri adalah dengan menyertai latihan atau program perantisan bersama organisasi yang komited terhadap amalan lestari. Pengalaman ‘hands-on’ ini mampu membuka minda dan memberikan peluang untuk membina rangkaian berharga.

 

Seterusnya, kita juga wajar menyokong perusahaan-perusahaan hijau yang sedia ada seperti kedai sisa sifar, jenama fesyen lestari, dan teknologi mesra alam atau mulakan perusahaan hijau sendiri dengan menghasilkan idea-idea inovatif yang mampu menyelesaikan isu-isu berkaitan alam sekitar.

 

Cara lain adalah dengan menyertai atau wujudkan kumpulan advokasi alam sekitar untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemahiran hijau dan amalan lestari seperti dengan menggunapakai platform media sosial untuk menyebarkan maklumat dengan lebih luas.

 

Akhir sekali, menyertai atau menganjurkan kempen penanaman pokok, kempen pembersihan, dan bengkel pengkomposan atau pemuliharaan tenaga dalam komuniti setempat juga dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam diri, sekaligus mengajak lebih ramai untuk menjadi lebih cakna dan prihatin terhadap alam sekitar dan terlibat sama dalam usaha untuk memastikan bumi ini terus terjaga.

 

Di samping itu, institusi pendidikan, terutamanya peringkat pendidikan tinggi, mempunyai peranan penting dalam membentuk pemimpin hijau yang termaklum dan prihatin terhadap kelestarian alam. Secara umumnya, populasi anak muda kebanyakkannya tertumpu di institusi pendidikan, di peringkat pendidikan tinggi mahupun sekolah.

 

Kesedaran alam sekitar boleh dipupuk dan dibaja serta mempersiapkan mereka dengan kemahiran hijau ini sejak kecil lagi. Dengan menawarkan kursus khusus yang menekankan kemahiran hijau, seperti seni bina lestari atau kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui, institusi pendidikan bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan ‘alat’ untuk memerangi cabaran iklim dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi penyokong untuk perubahan yang mampan tetapi juga melengkapkan mereka dengan kemahiran tambahan untuk meletakkan mereka di pasaran kerja yang rancak berubah, dinamik dan semakin kompetitif.

 

Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan pengukuhan strategi Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) dalam rangka kerja pendidikan yang sedia ada. Dengan menerapkan prinsip-prinsip kelestarian merentasi bidang, institusi pendidikan menanamkan pemahaman holistik tentang kesalinghubungan antara alam sekitar, masyarakat, dan ekonomi.


 

parafrasa

 


Ini menyediakan graduan untuk menangani isu-isu global yang kompleks melalui lensa yang mampan, membolehkan mereka memacu perubahan dalam pelbagai sektor. Hasilnya adalah generasi graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bukan hanya bersedia menghadapi dunia pekerjaan kelak tetapi tenaga mahir yang cakna tentang perlindungan alam sekitar, sekaligus mampu membantu membentuk dunia ke arah yang lebih lestari.

 

Tuntasnya, kemahiran hijau ini bukan lagi sebuah kemahuan tetapi sebuah keperluan hidup setiap manusia khususnya anak-anak muda yang bakal menerajui dan mewarisi bumi ini. Jika moyang kita dahulu berjuang demi kebebasan daripada penjajah, kini kita berhadapan dengan pertempuran yang jauh berbeza.

 

Jika tewas dalam peperangan ini, kita tidak akan boleh berundur kerana ia bakal mengancam seluruh umat manusia generasi kini dan generasi-generasi akan datang.

 

Oleh itu, ibarat perumpamaan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ayuh bersatu dan berpegang erat pada semangat kemerdekaan yang ke-66 ini bukan hanya sebagai peringatan mengenai sejarah silam belenggu penjajah luar tetapi sebagai tanda menghargai setiap titisan darah mereka dengan mengotakan janji untuk terus memastikan kelangsungan dan kemakmuran alam sekitar di bumi Malaysia yang tercinta ini. - DagangNews.com

 

Mogesh Sababathy adalah Aktivis Belia Alam Sekitar, Pengasas Bersama Projek Ocean Hope, Youth Climate Champions Consultant, UNICEF Malaysia dan Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)