Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Julai - Situasi politik tanahair dilihat akan terus memberi kesan kepada pasaran saham tempatan yang ketika ini bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda akan surut.
Ketidaktentuan ini akan melemahkan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya perubahan dalam tampuk kepimpinan negara, menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini.
Semalam, KLCI hampir tergelincir daripada paras sokongan 1,500 mata apabila susut 21.44 mata atau 1.4% kepada 1,508.71 mata merosot ke paras terendah sejak 25 Oktober 2020.
Ringgit pula yang mengakhiri dagangan pada RM4.1800/1830 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berlegar di bawah paras terendah sejak Ogos lalu.
Pada Rabu, UMNO mengisytiharkan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.
Bagaimanapun, petang semalam, Peguam Negara dalam kenyataan mengesahkan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin masih berfungsi dan berjalan seperti biasa.
Baca : 'Drama' politik : KLCI, ringgit merosot ke paras terendah
Menurut CGS-CIMB, apa yang berlaku terhadap pasaran bukan sesuatu yang mengejutkan, apatah lagi UMNO telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Perdana Menteri sejak September 2020.
Katanya, senario yang mungkin berlaku setakat ini, adalah Muhyiddin terus menjalankan tugasnya sehingga terbukti beliau tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
"Jika ini berlaku, tumpuan utama adalah apabila Parlimen bersidang mulai 26 Julai hingga 2 Ogos bagi Dewan Rakyat manakala 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.
"Terdapat kemungkinan barisan Ahli Parlimen Pembangkang akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sesi Parlimen akan datang ini," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Sidang Parlimen telah tertanggung sejak Januari lalu, selepas Yang Dipertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Kerajaan bersetuju menasihati Yang Dipertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan 5 Julai lalu berkata, persidangan Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
CGS-CIMB melihat perkembangan ini adalah negatif kerana ia akan terus mencetuskan ketidaktentuan terhadap kepimpinan seterusnya dan juga menjejaskan hala tuju dasar-dasar negara.
"Tambahan pula, keadaan ini berlaku pada ketika kes jangkitan semakin meningkat di negara ini kerana ujian COVID-19 dilakukan secara besar-besaran di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD)," tambahnya.
Menurut firma itu, pasaran akan terus melemah atau mendatar disebabkan risiko ketidaktentuan politik dan hasil korporat.
"Kami menjangkakan hasil korporat pada suku kedua ini adalah lemah berikutan pelaksanaan PKP dan PKPD.
"Isu politik pula adalah negatif kepada saham berkaitan sektor perbankan, pembinaan, hartanah dan yang mempunyai pegangan asing tinggi," katanya.
Sebaliknya, saham-saham berkaitan sarung tangan getah, teknologi, perladangan, utiliti dan telekomunikasi, kurang terjejas dengan situasi politik semasa.
Tambah firma itu, FBM KLCI boleh berlegar pada paras sekitar 1,463 mata sekiranya kebimbangan mengenai situasi tersebut terus berlanjutan. - DagangNews.com