Kemelut politik semasa tak jejas profesionalisme penjawat awam - CUEPACS | DagangNews Skip to main content

Kemelut politik semasa tak jejas profesionalisme penjawat awam - CUEPACS

penjawat awam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Situasi dan kemelut politik semasa yang melanda negara dilihat tidak menjejaskan pentadbiran dan perkhidmatan awam Malaysia.

 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pihaknya amat yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan penjawat awam khususnya Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan untuk terus berkhidmat secara profesional bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus cemerlang dan tidak terjejas.

 

Menurutnya, walaupun berlaku peletakan jawatan Menteri melibatkan beberapa kementerian, semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan dapat memberikan fokus dalam melaksanakan agenda yang telah ditetapkan bagi memberi perkhidmatan yang terus cemerlang kepada rakyat.

 

"Sebagai penjawat awam yang profesional dan neutral, kita tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang akan memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 

"Pada dasarnya CUEPACS boleh memberikan jaminan bahawa jentera pentadbiran kerajaan tidak akan terjejas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat walaupun berlakunya kemelut politik ketika ini.

 

"Sistem pentadbiran kerajaan pada dasarnya adalah terasing dengan sistem politik kepartian dan tidak akan terkesan dengan situasi semasa politik negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Adnan Mat
Adnan Mat

 

Mengulas lanjut, Adnan berkata, tahap profesionalisme warga penjawat awam adalah begitu tinggi kerana mereka telah berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. 

 

Walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, CUEPACS yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi oleh situasi politik semasa.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut berharap agar semua pemimpin parti politik dapat mencari titik persefahaman agar negara kembali stabil dan pulih sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

 

"Seluruh rakyat dan pentadbiran kerajaan ketika ini sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan tumpuan perlu diberikan terhadap usaha mengekang penularan wabak serta pemulihan semula ekonomi negara. 

 

"Titik persefaham yang utama adalah dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa jua tindak tanduk agar tidak memberi kesan yang begitu ketara," katanya lagi. - DagangNews.com