Kemenangan kontrak baharu daripada DBKL dijangka tingkatkan aliran pendapatan berulang ITMAX - HLIB | DagangNews Skip to main content

Kemenangan kontrak baharu daripada DBKL dijangka tingkatkan aliran pendapatan berulang ITMAX - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan kemenangan kontrak baharu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan keterlihatan aliran pendapatan berulang ITMAX System Bhd. 

 

Katanya, kontrak baharu itu juga mencerminkan keupayaan kumpulan dalam kemajuan teknologi dan kualiti perkhidmatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penambahan 5,000 CCTV baharu daripada DBKL adalah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini, pihak berkuasa itu hanya menambah 1,000 CCTV setahun dan tempoh kontrak itu adalah lebih lama iaitu sembilan tahun berbanding enam hingga tujuh tahun sebelum ini.

 

"Dengan pengembangan ini, sistem pengawasan video ITMAX kini akan merangkumi 10,000 CCTV, disambungkan dengan melalui infrastruktur rangkaian gentian optiknya di seluruh Kuala Lumpur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX peroleh kontrak CCTV RM539 juta daripada DBKL

 

HLIB berkata, walaupun penyewaan 5,000 CCTV tambahan iitu adalah lebih rendah iaitu RM1,000 sebulan (berbanding yang sedia ada antara RM1,100 hingga RM1,200 sebulan), namun ia akan menghasilkan margin lebih tinggi keranan kos tambahan untuk pusat arahan dan gentian optik adalah jauh lebih rendah.

 

Katanya, dengan penambahan itu, jumlah buku pesanan yang belum dibilkan adalah sebanyak RM1.5 bilion yang akan diiktiraf secara progresif sehingga Mei 2039.

 

"Pada penghujung suku pertama tahun ini, buku tender ITMAX berjumlah antara RM300 juta hingga RM400 juta," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli dengan harga sasaran (TP) RM4.71 sesaham. - DagangNews.com