Kementerian, jabatan diarah berjimat cermat dalam perbelanjaan awam – KSN | DagangNews Skip to main content

Kementerian, jabatan diarah berjimat cermat dalam perbelanjaan awam – KSN

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali telah mengeluarkan arahan kepada semua kementerian dan jabatan untuk melaksanakan kawalan perbelanjaan dengan rapi mengikut peraturan yang ditetapkan.

 

“Perbelanjaan awam perlulah dilaksanakan dengan berhemat, bersederhana dan selari dengan keperluan sebenar bagi mengurangkan komitmen kewangan Kerajaan dan mengelakkan pembaziran sumber,” kata Mohd Zuki dalam pekeliling yang dikeluarkannya hari ini.

 

Mohd Zuki berkata arahan tersebut dikeluarkan bagi mengambil saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyentuh aspek penjimatan dan mengelakkan pembaziran sumber kewangan awam ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

 

Sehubungan itu, langkah berjimat cermat itu dilaksanakan berpandukan Pekeliling Perbendaharaan PB 3.1 (Pindaan 2022) Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

 

Bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum, beliau berkata Pegawai Pengawal boleh melaksanakan penganjuran acara majlis keraian rasmi Kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar atau bengkel dihadkan bagi program diperlukan sahaja dan disarankan dibuat di premis atau pusat atau Institusi Latihan Awam (ILA).

 

Di samping itu, beliau turut menyarankan penggunaan sumber utiliti (elektrik dan air) dan peralatan pejabat secara optimum, serta mengelakkan pembaziran penyediaan makan dan minum semasa mesyuarat atau program.

 

Mohd Zuki juga menggalakkan mesyuarat diadakan secara dalam talian/persidangan video bagi mengurangkan perbelanjaan logistik, mengoptimumkan masa dan perbelanjaan ke atas tuntutan perjalanan.

 

 

Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali
Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali

 

 

Ini dilakukan dengan mematuhi tatacara keselamatan dan perkongsian maklumat yang terkandung dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 3 tahun 2023 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

 

“Bagi tempahan tiket penerbangan perlu berdasarkan perbandingan harga yang terbaik (bagi mendapatkan value for money), membuat perancangan awal dan turut digalakkan menempah menggunakan kad kredit korporat,” katanya.

 

Di samping itu, Mohd Zuki menyatakan bahawa Pegawai Pengawal perlu mematuhi peraturan perjalanan rasmi bertugas ke luar negara seperti mana yang terkandung di dalam Arahan Setiausaha Jemaah Menteri Bilangan 1 (2021) serta penjelasan di dalam PB 3.1 (Pindaan 2022).

 

Jelasnya, ini melibatkan mesyuarat berjadual atau persidangan yang telah diluluskan di dalam belanjawan tahunan dan penting serta memberi impak signifikan kepada kepentingan negara atau mesyuarat/persidangan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.

 

“Pegawai Pengawal diingatkan supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti mana yang dijelaskan di bawah Seksyen 15A Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dalam melaksanakan pengurusan perbelanjaan.

 

“Kegagalan pegawai awam mematuhi semua peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 18 Akta 61,” tegasnya dalam pekeliling tersebut. - DagangNews.com