Kementerian Kewangan kaji kemungkinan pelaksanaan semula GST - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan kaji kemungkinan pelaksanaan semula GST - Maybank IB

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kementerian Kewangan telah menubuhkan sebuah jawatan kuasa untuk mengkaji pelbagai langkah bagi menambah baik hasil negara. 

 

Ini termasuk kajian berhubung kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

 

Perkara itu didedahkan oleh Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) yang pada Jumaat lalu mengadakan dialog dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar atas).

 

Dalam dialog berkenaan, Tengku Zafrul menyatakan kementeriannya turut mengkaji kelemahan cukai dan impak percukaian baharu kepada ekonomi. 

 

Kajian itu turut melibatkan pilihan cukai baharu seperti karbon dan digital, merasionalkan insentif cukai, menambah baik pentadbiran dan audit cukai seperti penggunaan nombor pengenalan dan peningkatan analisis data. 

 

“Strategi utamanya adalah untuk menambah baik hasil susulan skop yang terhad untuk memotong perbelanjaan seperti 95% perbelanjaan operasi merupakan tanggungjawab ‘dikunci’ seperti emolumen, caj perkhidmatan hutang dan caj persaraan,” kata Tengku Zafrul seperti dipetik dalam nota kajian Maybank IB. 

 

Jelas Tengku Zafrul, 2021 merupakan tahun peralihan krisis ke pemulihan dan dalam tempoh jangka sederhana, kerajaan komited untuk merendahkan defisit bajet kepada 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023.

 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan cukai pendapatan korporat sektor sarung tangan dijangka mencecah RM2.8 juta pada 2020 dan RM4.7 bilion pada 2021.

 

Oleh itu, langkah kerajaan untuk mengutip RM400 juta sumbangan daripada empat syarikat sektor itu bertujuan mengelakkan peralihan perniagaan itu untuk melabur ke luar negara berbanding Malaysia, tambah Tengku Zafrul. - DagangNews.com