Kementerian Kewangan, NGO wanita sedia Belanjawan Responsif Gender B40 bermula 2023 - PM | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan, NGO wanita sedia Belanjawan Responsif Gender B40 bermula 2023 - PM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kementerian Kewangan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita diberi tanggungjawab menyediakan Belanjawan Responsif Gender untuk golongan B40 bermula tahun depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, bajet berasaskan data asing gender itu akan mengenalpasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya, bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti.

 

"Kerajaan juga akan menambah baik dan memperhalusi dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang yang prihatin gender," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

 

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli ke sambutan itu.

 

Menurut Ismail Sabri, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 misalnya telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

 

Beliau berkata, Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur juga akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

 

"Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri yang lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan," katanya.

 

Bagaimanapun beliau mengakui dalam agenda pemerkasaan wanita, masih banyak ruang yang perlu ditambahbaik dan diteliti supaya isu-isu berkaitan wanita dapat ditangani dengan lebih berkesan.

 

Justeru katanya, kerajaan mengiktiraf program dan inisiatif yang dimainkan pelbagai pihak seperti institusi-institusi akademik, NGO, sektor awam dan banyak lagi untuk memperkasakan wanita di negara ini.

 

 

pm
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) berkenan berangkat mencemar duli ke Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran NCWO di Dewan Perdana Felda, hari ini. Turut kelihatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri). - Gambar PMO

 

 

"Pemerkasaan golongan wanita juga sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara.

 

"Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri bagi memperkasa peranan wanita di peringkat persekutuan sehingga ke peringkat negeri.

 

"Sewaktu Hari Wanita yang lepas, saya telah mengumumkan kebenaran bekerja di rumah (BDR) bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian," katanya.

 

Selain itu katanya, bagi membantu wanita menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dimantapkan.

 

Beliau berkata, kerajaan melalui JKSM turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami sekiranya ada tuntutan nafkah di mahkamah yang tidak dilunaskan tanpa sebab yang munasabah.

 

 

pm

 

 

"Begitu juga bagi penjawat awam jika ada yang ingkar dengan keputusan mahkamah dari segi pemberian nafkah kepada bekas isteri, pihak kerajaan juga boleh memotong terus gaji mereka untuk dibayar kepada bekas isteri ataupun anak-anak mereka, surat edaran telahpun dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan kini sedang dilaksanakan.

 

"Baru-baru ini, Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat," katanya.

 

"Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)  sekurang-kurangnya 30% sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023. Alhamdullilah, sehingga kini, sebanyak 210 daripada 900 syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30% wanita dalam lembaga pengarah syarikat," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta khusus untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, bagi memastikan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

 

Katanya, kerajaan turut prihatin dalam memastikan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia di seluruh negara.

 

"Sehingga Ogos 2022, seramai 591,000 kumpulan sasar terutama golongan wanita telah mendapatkan perkhidmatan PSSS iaitu sesi bimbingan dan kaunseling. Semua ini merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak," katanya. - DagangNews.com