Kementerian Perladangan dan Komoditi akan meneliti isu cukai 'durian runtuh' – Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Kementerian Perladangan dan Komoditi akan meneliti isu cukai 'durian runtuh' – Johari Ghani

Johari Ghani (tengah) mengunjungi reruai FGV Holdings Bhd selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 di Kuala Lumpur, hari ini. [Foto Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perladangan dan Komoditi]

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kementerian Perladangan dan Komoditi akan meneliti isu cukai keuntungan 'durian runtuh' yang dibangkitkan oleh penggiat industri dan berunding dengan pihak berkaitan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Johari berkata, cukai 'durian runtuh' sebanyak 3% dikenakan ke atas harga minyak sawit melebihi RM3,000 setan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 setan di Sabah dan Sarawak.

 

Bagaimanapun, katanya, penggiat industri telah membangkitkan kebimbangan mereka memandangkan kos telah meningkat kepada hampir RM3,000 setiap tan.

 

"Kos sebelum ini adalah antara RM1,500 dan RM1,800, kini naik kepada RM2,800 hingga RM3,000, malah lebih tinggi di kawasan tertentu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 hari ini, lapor Bernama.

 

Memandangkan kos semasa meningkat, pelarasan tertentu adalah perlu, katanya, sambil menambah kementerian akan menjalankan pemeriksaan kos yang lebih teliti.

 

 

Johari Ghani bercakap kepada media selepas menyampaikan ucaptama beliau di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. [Foto Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perladangan dan Komoditi]
Johari Ghani bercakap kepada media selepas menyampaikan ucaptama beliau di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. [Foto Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perladangan dan Komoditi]

 

 

Berkenaan isu kekurangan pekerja yang dihadapi oleh industri, Johari mencadangkan pengenalan program Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) untuk penuai kelapa sawit.

 

"Kita mempunyai 5.67 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia, namun tidak mempunyai penuai yang mencukupi. Oleh itu, kita boleh memperkenalkan program TVET untuk penuai dikendalikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," katanya.

 

Digabungkan dengan penuaian mekanikal MPOB, Johari menjelaskan bahawa langkah tersebut sepatutnya membantu menangani kekurangan buruh, di mana pihak berkepentingan industri harus mengiktiraf penuai sebagai satu profesion dan gaji mereka tidak seharusnya setara dengan pekerja asing.

 

Terdahulu dalam ucaptamanya, menteri itu berkata bahawa isu kekurangan tenaga kerja berterusan dalam sektor minyak sawit telah mengakibatkan kerugian pengeluaran dan hasil rendah, yang telah menghalang pengeluaran minyak sawit daripada mencapai potensi penuhnya pada 2022 dan 2023.

 

“Sebagai contoh, pembekuan pengambilan pekerja asing menyebabkan kekurangan 55,000 pekerja dalam sektor minyak sawit pada Disember 2022.

 

"Walaupun terdapat beberapa halangan awal, keadaan buruh beransur pulih dengan pembukaan semula sempadan Malaysia, menyebabkan sedikit peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit mentah pada akhir 2023," katanya.

 

Johari menambah, kerajaan komited untuk memastikan kecekapan pengurusan pekerja asing bagi menangani situasi buruh yang kritikal dalam sektor perladangan. - DagangNews.com