Kemerosotan eksport bakal jejaskan ringgit, kata AmBank Research | DagangNews Skip to main content

Kemerosotan eksport bakal jejaskan ringgit, kata AmBank Research

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kadar eksport Ogos 2020 yang merosot 2.9% setelah menyaksikan prestasi positif pada dua bulan sebelumnya boleh memberi kesan buruk ke atas mata wang negara. 

Ringgit menunjukkan trend kurang memberangsangkan pada bulan ini selepas ‘tersentak’ oleh sentimen kukuh terhadap dolar Amerika Syarikat.

“Ringgit pada minggu lalu terjejas sedikit akibat risiko politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada hujung minggu, dan keputusan FTSE Russell sekiranya ingin menyingkirkan sekuriti kerajaan Malaysia daripada indeks bon dunia.

“Kedua-dua perkara itu bertukar baik,” jelas analisis AmBank Research.

Bagaimanapun, tambah AmBank Research, pertumbuhan kadar eksport yang merosot semalam merupakan ‘berita buruk’ kepada ringgit Malaysia. 

Kesemua produk eksport utama merudum berbanding Julai dengan penurunan besar dalam produk elektronik dan petroleum.

Dan tanpa kesan asas yang baik, ia akan menjadi lebih buruk lagi,” kata AmBank Research.

Ringgit mencecah paras terendah sejak 9 September 2020, menurun sebanyak 0.11% kepada 4.175.

Dolar AS pula lemah, menurun sebanyak 0.38% kepada 94.278 iaitu paras terendah dalam tempoh satu minggu.

“Penurunan itu diikuti oleh jangkaan rangsangan fiskal dalam kalangan pelabur menjelang perbahasan presiden AS pertama hari ini (29 September),” tambah AmBank Research. - DagangNews.com