Kempen Beli Barangan Malaysia, PJM akan terus diperhebat pada tahun hadapan - PM | DagangNews Skip to main content

Kempen Beli Barangan Malaysia, PJM akan terus diperhebat pada tahun hadapan - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan kempen berimpak tinggi seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) serta Program Jualan Malaysia (PJM) akan diperhebatkan pada tahun hadapan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi domestik negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KBBM telah mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik manakala PJM pula mencatatkan prestasi seperti yang disasarkan.

 

“KBBM mencatatkan nilai jualan barangan buatan Malaysia bagi 2020 mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.87 bilion pada 2019.

 

“PJM pula turut mencatatkan prestasi seperti yang disasarkan, sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun 2020 telah berjaya dicapai dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM135.9 bilion,” kata ketika merasmikan Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

 

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui KPDNHEP sentiasa menggerakkan jentera pemulihan ekonomi domestik menerusi inisiatif-inisiatif berimpak tinggi bagi merancakkan lagi perkembangan sektor perdagangan pengedaran.

 

“Salah satu langkah bagi menyokong pemulihan dan pemerkasaan semula sektor perdagangan dalam negeri ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan pengedaran,” katanya. 

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, melalui Program Imunisasi Sektor Peruncitan (RiVAC), hampir 56,000 pekerja di sektor peruncitan telah mendapat vaksinasi lengkap di seluruh negara melalui kerjasama awam dan swasta.

 

“Melalui Program RiVAC, ia secara langsung telah memberi jaminan perlindungan kepada pekerja di sektor peruncitan dan membantu merancakkan pemulihan ekonomi negara.

 

Kerajaan percaya, pencapaian-pencapaian ini adalah hasil kerjasama baik di antara semua pihak. Persepakatan seperti inilah yang saya mahu terapkan kepada semua pihak yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. 

 

Ismail Sabri berkata, pemantauan setiap hari merupakan manifestasi komitmen KPDNHEP atas tanggungjawab yang telah kerajaan berikan iaitu bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi.

 

“Pihak penguatkuasa perlu melakukan pemantauan dan operasi yang lebih agresif untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga hingga mengundang kemarahan pengguna,” katanya.

 

Perdana Menteri turut menegaskan, pendigitalan adalah agenda utama pada hari ini, malahan agenda itu  juga menjadi fokus utama kerajaan untuk tahun-tahun mendatang.

 

“Kita perlu berani untuk ‘reboot’ dan melaksanakan ‘best practices’ (amalan terbaik) dalam industri. Antaranya adalah mempercepat agenda digitalisasi. 

 

"Konsep perniagaan secara ‘omni-channel’ dan fokus kepada ‘low touch’ ekonomi (ekonomi dengan sentuhan minimum) perlu diberi penekanan. Sudah pasti kedua-dua agenda ini memerlukan pemain industri untuk menerima dan mengguna pakai teknologi serta digitalisasi dengan lebih meluas,” katanya.-Dagangnews.com