Kempen derma darah Allianz norma baharu | DagangNews Skip to main content

Kempen derma darah Allianz norma baharu

 

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt. – Seperti tahun-tahun sebelum ini, jenama insurans No. 1 dunia, Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) sekali lagi meneruskan tradisi tahunannya dengan menganjurkan kempen derma darah bersempena sambutan Hari Malaysia.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kempen derma darah Allianz yang dianjurkan baru-baru ini dijayakan dengan cara ‘norma baharu’ dan berjaya mengumpul sejumlah 112 pain darah.

Berlangsung di Pusat Darah Negara, Titiwangsa dari 21 hingga 27 September lalu, kempen derma darah ini memberi peluang kepada semua kakitangan Allianz Malaysia dari ibu pejabat dan cawangan-cawangan di Kuala Lumpur untuk menyumbang semula kepada masyarakat tanpa berkompromi dengan peraturan norma baharu dan penjarakan selamat.

Menurut Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek, syarikat perlu mengambil langkah untuk menyesuaikan inisiatif kempen derma darah kali ini dengan perubahan dan situasi semasa.

Ng Siew Gek

“Kami ingin turut memberi sumbangan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19 yang amat memerlukan bekalan darah dan kempen derma darah Allianz ini diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen seumpamanya juga telah diadakan di cawangan Allianz Malaysia lain dengan kerjasama hospital-hospital di Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, dan Temerloh.

Allianz General adalah salah sebuah syarikat insurans am di Malaysia dan mempunyai spektrum yang meluas bagi perkhidmatan dalam talian peribadi; perniagaan perusahaan sederhana dan kecil (SME) dan industri yang berisiko besar.

Jumlah premium bertulis kasar (GWP) untuk perniagaan insurans am untuk tahun kewangan 2019 mencapai RM2.20 bilion.

Allianz Life menawarkan insurans hayat dan kesihatan dan produk-produk berkaitan pelaburan dan bagi tahun kewangan 2019, Allianz Life telah mencatatkan GWP sebanyak RM2.73 bilion

Sejak tahun 2014, Allianz4Good telah menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pendermaan Organ sebagai inisiatif untuk menyumbang semula kepada masyarakat. – DagangNews.com