Kempen JMKM@DE Dagang tawar diskaun sehingga 20% dengan kerjasama 17 Rakan Platform Digital | DagangNews Skip to main content

Kempen JMKM@DE Dagang tawar diskaun sehingga 20% dengan kerjasama 17 Rakan Platform Digital

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama bersama 17 Rakan Platform Digital pada Majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG), hari ini.

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE Dagang (JMKM@DE Dagang) menyaksikan 17 Rakan Platform Digital akan menawarkan promosi dan insentif mampu beli kepada orang ramai mulai September hingga Disember 2022.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kempen tersebut adalah usaha nasional bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat selari dengan aspirasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk menurunkan kadar inflasi dan harga makanan.

 

Katanya, melalui kerjasama dengan Rakan Platform Digital, ia membolehkan rakyat berbelanja pada harga berpatutan dan tidak membebankan mereka terutamanya barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan dan perkakas rumah yang boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20% atau maksimum RM100 untuk setiap transaksi.  

 

"Kempen ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 peniaga tempatan, dengan 30,000 daripadanya adalah perniagaan baharu yang turut menyertai program ini.

 

"Jumlah Jualan Kasar (GMV) yang disasarkan bakal menjana melebihi RM1.5 bilion menerusi 5 juta transaksi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Annuar Musa
Annuar Musa (tengah) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Ma. Sivanesan (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz (kiri) bergambar di Majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE DAGANG (JMKM @ DE DAGANG).

 

 

JMKM@DE Dagang adalah kesinambungan daripada program yang telah dilancarkan termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Murah Rangkaian Koperasi dan Jualan Murah @ Kampus yang dilancarkan pada Ogos 2022. 

 

Insentif-insentif yang ditawarkan melalui kempen ini boleh ditebus daripada 17 Rakan Platform Digital yang terlibat termasuk platform tempatan seperti Bizapp, InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant, Wonderfly dan juga platform luar negara seperti Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, dan TikTok.

 

Selain itu, Annuar Musa berkata, kempen itu juga akan membantu usahawan dalam sektor sasaran seperti produk-produk halal, hasil pertanian dan produk Buatan Malaysia. 

 

"Selain itu, JMKM@DE DAGANG akan membantu usahawan yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi untuk dieksport serta produk Pelancongan dan Kraf untuk mengguna pakai dan memanfaatkan Platform Digital," jelasnya.

 

Beliau memberitahu, sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022, JMKM@DE DAGANG bersama Rakan Platform Digitalnya juga akan menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-dagang dan e-bayar.

 

Katanya, inisiatif itu bertujuan untuk menambah baik keupayaan penjualan, sekali gus meningkatkan pendapatan perniagaan terbabit.

 

"Rakyat diseru agar membeli barangan keperluan asas dalam talian melalui Rakan Platform Digital terlibat agar dapat membantu pengusaha-pengusaha tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

MDEC selaku agensi peneraju Ekonomi Digital akan terus memacu penggunaan digital dalam kalangan perniagaan tempatan menerusi Inisiatif Malaysia Digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN. -DagangNews.com