Kempen ‘Sarawak Digital Mall’ di Shopee tawarkan insentif RM1 juta | DagangNews Skip to main content

Kempen ‘Sarawak Digital Mall’ di Shopee tawarkan insentif RM1 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Platform e-dagang, Shopee dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak bakal melancarkan kempen 'Sarawak Digital Mall', bertujuan memacu jualan bagi peniaga dari Sarawak di platform tersebut.

 

Kerjasama itu dijangka memanfaatkan puluhan ribu peniaga baharu dan sedia ada di Shopee dengan menawarkan insentif seperti baucar-baucar diskaun dan penghantaran percuma berjumlah RM1 juta kepada peniaga yang mengambil bahagian, menurut satu kenyataan bersama hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman berkata, langkah berkenaan penting untuk para Usahawan memulakan perniagaan mereka secara dalam talian.

 

Sudarnoto Osman
Sudarnoto Osman

 

“Dalam zaman teknologi ini, orang ramai lebih gemar berurusan melalui telefon bimbit atau komputer. Dengan menerapkan aspek pendigitalan, ia mewujudkan peluang yang lebih besar kepada para penjual ini,” katanya.

 

SDEC merupakan sebuah agensi milik kerajaan yang diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif Ekonomi Digital Sarawak.

 

Antara bahagian yang diutamakan ialah Perniagaan Digital, di mana pendigitalan usahawan Sarawak merupakan fokus penting.

 

Dalam pada itu, Sudarnoto jugamenekankan bahawa kerjasama tersebut bakal menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan PKS Sarawak.

 

Katanya,walaupun Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan budaya dan warisan, namun, banyak produk tempatannya masih belum dikenali ramai disebabkan pendedahan dan kebolehcapaian yang kurang.

 

"Dengan baucar diskaun yang diberi dalam kempen ini, para peniaga Sarawak akan dapat menjual produk tempatan mereka pada nilai yang lebih kompetitif di pasaran Malaysia dan serantau yang lebih luas, tanpa dihalang oleh bayaran penghantaran yang membebankan," ujarnya.

 

Di bawah kempen sama, Shopee juga menyediakan kursus keusahawanan menerusi Shopee University, satu bengkel latihan dalam talian percuma yang disediakan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.

 

Ian Ho
Ian Ho

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak, platformnya dapat menghapuskan batasan geografi antara para penjual dan pelanggan. - DagangNews.com