Kemungkinan amat tipis Malaysia alami situasi seperti Sri Lanka - Penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kemungkinan amat tipis Malaysia alami situasi seperti Sri Lanka - Penganalisis ekonomi

Kedudukan dan pengurusan ekonomi Malaysia jauh lebih tersusun berbanding Sri Lanka
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Julai – Kebarangkalian untuk Malaysia menghadapi situasi seperti Sri Lanka adalah sangat tipis dan keadaan kewangan negara masih di tahap yang stabil, kata ketua penyelidikan dan penasihat kekayaan (wealth) UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan.

 

Membandingkan aspek pinjaman tidak berbayar Malaysia dan Sri Lanka, Mohd Sedek berkata, NPL Malaysia berada pada tahap 1.5% berbanding Sri Lanka yang mencatatkan NPL setinggi 4.5% pada tahun 2021.

 

"Saya tidak merasakan Malaysia akan mengalami situasi seperti itu (muflis).

 

"Tambahan pula, hampir semua negara telah meningkatkan hutang negara mereka kerana pakej rangsangan COVID-19 tetapi aliran masuk daripada pendapatan kerajaan (cukai akibat pembukaan semula pasaran) akan membantu mengurangkan defisit kita," beliau memberitahu DagangNews.

 

Selain itu, Mohd Sedek menyatakan bahawa jika dilihat dari aspek kadar inflasi negara berbanding negara-negara luar, inflasi keseluruhan (headline inflation Malaysia) Mei 2022 berada pada tahap 2.84%, manakala Singapura (5.61%), China (2.1%), Eropah (8.83%), Amerika Syarikat (8.53%) dan Sri Lanka (45.33%).

 

Terdahulu, kertas putih yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) telah menggariskan petunjuk bahawa Malaysia dijangka mendapat markah yang baik pada lima daripada lapan petunjuk risiko berdaulat utama bagi pasaran Asia yang sedang pesat membangun.

 

Dalam analisis EIU, ia berkata hutang awam dalam denominasi mata wang asing Malaysia kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk 2022/23 adalah kurang daripada 10% berbanding Kemboja, Laos, Mongolia, Pakistan dan Sri Lanka yang lebih daripada 30%.

 

Laporan itu menekankan dalam carta bahawa nisbah hutang kepada perkhidmatan Malaysia untuk 2022/23 juga kurang daripada 10%, liabiliti luar belanjawan penting negara juga dikategorikan sebagai "kecil", manakala purata baki akaun semasa tahunan Malaysia sebagai peratusan KDNK 2022/23 berada dalam lebihan.


 

Mohd Sedek Jantan
   Mohd Sedek Jantan

 


Analisis itu juga berkata bahawa akses Malaysia kepada pembiayaan konsesi luar semasa krisis juga adalah baik.

 

Laporan itu dikeluarkan berikutan kebimbangan mengenai hutang negara pasaran baru muncul akibat dasar monetari yang mengetatkan AS dan negara-negara Barat utama lain.

 

Pada 19 Julai lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa sesi siding Dewan Rakyat berkata, hutang negara masih dalam keadaan terkawal dan kemungkinan Malaysia akan muflis seperti Sri Lanka adalah sangat tipis berikutan kedudukan ekonomi yang lebih baik berbanding negara itu.

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga tidak pernah melaporkan Malaysia berdepan kemungkinan untuk muflis sebaliknya mereka berkeyakinan terhadap kemampuan pertumbuhan ekonomi negara ini.

 

"April tahun lalu, IMF menyuarakan keyakinan mereka bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini akan berkembang pada kadar 5.75%.

 

"Jika dibandingkan dengan Sri Lanka, jelas sekali ekonomi Malaysia lebih kukuh dan kemungkinan untuk muflis itu sangat tipis," katanya. – DagangNews.com