Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Sept. - RAM Rating Services Berhad (RAM) tidak menolak kemungkinan bon Malaysia akan kekal dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE.
Jelas agensi itu, keadaan paling teruk yang bakal berlaku adalah bon Malaysia diletakkan ke dalam senarai pemantauan.
“Penglibatan positif antara FTSE Russell dan pihak berkuasa pengawalseliaan untuk meningkatkan akses pelabur asing mengurangkan kemungkinan penyingkiran Malaysia dari WGBI,” kata penganalisis RAM, Woon Khai Jhek dalam nota kajiannya.
FTSE Russell dilaporkan bakal mengumumkan kemaskini WGBI pada Khamis ini.
Tambah Khai Jhek, kadar faedah rendah dalam bon dijangka berterusan di negara maju sementara kadar faedah mungkin kembali normal lebih awal di pasaran sedang membangun seperti Malaysia.
Ini akan memberikan perbezaan hasil yang berpatutan sekali gus dapat mendorong aliran masuk asing ke pasaran domestik.
“Bagaimanapun, status Malaysia dalam senarai pemantauan WGBI mungkin menghalang aliran masuk berkenaan,” kata beliau.
Sebelum ini, pakar pasaran bon menjangkakan kemaskini senarai WGBI bakal melibatkan bon kerajaan China.
Sekiranya berlaku, keadaan itu akan mencetuskan sentimen dan menyokong mata wang negara itu, yuan.
Goldman Sachs meramalkan, kemasukan bon China ke dalam WGBI bakal menarik AS$140 bilion aliran masuk.
Berdasarkan jangkaan 20 bulan tempoh kemasukan bon China ke dalam WGBI, kira-kira AS$ 7 bilion aliran masuk berlaku dalam sebulan. - DagangNews.com