Kenaikan bil elektrik bakal jejas pemulihan PKS, SAMENTA rayu PM bantu | DagangNews Skip to main content

Kenaikan bil elektrik bakal jejas pemulihan PKS, SAMENTA rayu PM bantu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) meluahkan kebimbangan berhubung kenaikan bil elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula esok akan menjejaskan pemulihan peniaga kecil dan sederhana (PKS). 

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, kenaikan tersebut disifatkan sebagai surcaj di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang, masih merupakan kenaikan mendadak. 

 

Jelasnya, menurut Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri akan membayar antara 11.8 hingga 18.4% lebih untuk penggunaan elektrik.

 

"Bagi kebanyakan PKS terutama daripada sektor pekilangan, kos elektrik merupakan faktor kos kedua atau ketiga terbesar, selepas kos bahan mentah dan buruh. Kenaikan sehingga 18.4% dalam bil utiliti perniagaan yang mempunyai margin keuntungan di bawah 10% bermakna pengurangan antara 20 hingga 40% daripada keuntungannya.

 

"Walaupun kami memahami keperluan pelarasan harga secara berkala, kami tidak dapat menerima kuantum yang diluluskan, terutama ketika TNB melaporkan lonjakan hasil dan pendapatan sebanyak 9.6 dan 4.6% masing-masing untuk tempoh 9 bulan yang berakhir 30 September 2021. Pada suku ketiga tahun 2021 sahaja, syarikat tersebut untung lebih RM1 billion," katanya dalam satu kenyataan.

 


Ng berkata, menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dr. Baharin Din, peningkatan dalam permintaan dijangka bertambah baik pada beberapa bulan akan datang dan tahun depan (2022) apabila lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka.

 

Beliau berkata, berdasarkan pengakuan anak syarikat Khazanah Nasional itu akan menunjukkan prestasi lebih baik dalam beberapa bulan akan datang dan tidak ada sebab kenaikan bil secara mendadak terutama apabila bercita-cita mengurangkan pergantungan arang batu dalam portfolionya daripada 45% pada 2021 kepada 10% menjelang 2035. 

 

"Kenaikan kos stok arang batu dan kos operasi penjanaan elektrik disebut-sebut TNB sebagai alasan untuk kenaikan bil elektrik yang mendadak ini," katanya.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

Katanya, SAMENTA merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah segera menyelamatkan PKS seperti yang kerap dijanjikan. 

 

"Jika kenaikan ini terus dibenarkan, kami menggesa jemaah menteri mempertimbangkan kuantum kenaikan lebih munasabah tanpa menjejaskan keuntungan berterusan TNB atau 'prestasi berdaya tahan' syarikat tersebut," katanya.

 

Ng berkata, walaupun menasihatkan ahli mereka supaya tidak menaikkan harga barang walaupun kenaikan mendadak dalam bil elektrik dan kos bahan mentah, pihaknya perlu faham kebanyakan PKS sedang beroperasi dengan margin tipis dan masih bergelut kemelutan ekonomi. 

 

"Sekiranya kenaikan ini diteruskan seperti yang diumum, adalah hampir mustahil bagi perniagaan untuk menyerap kos tambahan tanpa menyalurkan sebahagiannya kepada pengguna seperti dilakukan TNB sendiri," katanya. - DagangNews.com