Kenaikan harga komoditi akibat krisis Rusia-Ukraine jejas margin keuntungan untuk jangka pendek | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga komoditi akibat krisis Rusia-Ukraine jejas margin keuntungan untuk jangka pendek

Gandum mencatatkan kenaikan harga tertinggi di pasaran global akibat kekurangan bekalan kesan daripada krisis Rusia-Ukraine.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - CGS-CIMB Research menyatakan bahawa krisis Rusia-Ukraine yang berlaku kini menyebabkan berlakunya kenaikan harga komoditi yang akan memberi kesan kepada margin keuntungan syarikat bagi jangka pendek.


 
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan kos itu menyebabkan berlakunya kenaikan harga produk jualan sepanjang 4Q2021 hingga 1Q2022 dalam usaha untuk menyeimbangkan margin keuntungan syarikat. 

 

"Berdasarkan kepada kajian sebelum ini, krisis yang melibatkan Rusia-Ukraine pada 2014 tidak memberi kesan besar kepada syarikat berasaskan pengguna.

 

"Buktinya, margin keuntungan kasar dan margin keuntungan selepas cukai pada FY2014 dan FY2015 adalah stabil dan kami percaya kebanyakan syarikat Malaysia meraih pendapatannya daripada pasaran domestik dan Asia Tenggara.   

 

"Bagaimanapun, konflik semasa melibatkan kedua-dua negara itu melibatkan skala yang lebih besar berbanding 2014 dan ia menyebabkan berlakunya kenaikan harga komoditi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga bahan mentah terutamanya gandum, minyak sawit, jagung, kacang soya dan minyak mentah Brent mencatatkan peningkatan ketara antara Februari dan Mac 2022 akibat gangguan rantaian bekalan global kerana krisis Rusia-Ukraine.

 

Katanya, berdasarkan kepada data Bloomberg, harga gandum mencatatkan peningkatan paling ketara diikuti minyak sawit, jagung dan kacang soya bagi tempoh sama. 

 

"Kami percaya syarikat seperti Nestle, F&N, Power Root and Kawan Food paling terkesan dengan kenaikan harga komoditi itu selepas mengambil kira mengenai asas perniagaan mereka.

 

"Bagaimanapun kami percaya mereka mempunyai kekuatan dari segi penentuan harga selagi ada permintaan jangka panjang dan keperluan harian," katanya. - DagangNews.com