Kenaikan kadar inflasi dijangka beri impak kepada pendapatan Media Prima | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kadar inflasi dijangka beri impak kepada pendapatan Media Prima

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan impak kenaikan kadar inflasi akan memberi kesan terhadap perkembangan pendapatan Media Prima Berhad.

 

Firma itu berkata, dua perkara yang menjadi kerisauan utama mereka adalah jualan iklan di televisyen dan Wow Shop.

 

Katanya, penurunan perbelanjaan iklan (adex) sebanyak 0.6% untuk Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) bagi 4M22 menimbulkan persoalan sama ada pembukaan semula sektor ekonomi gagal meningkatkan perbelanjaan para pengiklan pada 2022.

 

Katanya, penurunan penjualan iklan pada 4M22 adalah disebabkan kebanyakan syarikat berjimat untuk sambuatn Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada Mei 2022.

 

"Wow Shop mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM4.6 juta pada 1Q22 berbanding untung bersih RM2.5 juta pada 1Q21.

 

"Ramai pihak menyuarakan mengenai kenaikan harga makanan dan barangan harian menerusi media sosial dan secara tidak langsung ia menimbulkan keraguan sama ada Wow Shop boleh mampu bangkit pada FY22F.

 

"Wow Shop lebih tertumpu kepada jualan barangan besar yang mungkin menyebabkan ramai pembeli tidak akan membuat pembelian itu memakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, nilai iklan yang dikeluarkan Nielsen Malaysia tidak merangkumi pengiklanan dalam program dan penempatan produk yang mana Media Prima mengaturkannya semasa program siaran langsungnya. 

 

"Bagaimanapun, mungkin ada pelanggan mereka terpaksa menjimatkan perbelanjaan untuk promosi dan iklan bagi melindungi margin keuntungan sekiranya kenaikan harga barangan berterusan pada tahun ini," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM0.51. - DagangNews.com