Kenaikan kos bahan binaan masih 'menekan' syarikat pemaju hartanah | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kos bahan binaan masih 'menekan' syarikat pemaju hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Sept - Prospek sektor hartanah masih dipengaruhi dengan masalah lebihan bekalan dan kekurangan tenaga buruh manakala kemampuan memiliki rumah semakin terhakis berikutan kenaikan kadar faedah dan kos pembinaan melambung tinggi.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut memandangkan persekitaran operasi masih lagi mencabar. 

 

Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, beberapa pemaju telah memberhentikan pelancaran baharu projek mereka kerana kos pembinaan yang tinggi memberi risiko kepada daya maju pelancaran.

 

Tambahan pula, katanya, kekurangan pekerja dan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat boleh menghakis kemampuan perumahan.

 

"Namun, kami dapati beberapa kos input tertentu, seperti keluli, telah berkurangan sejak beberapa bulan lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua, firma itu mendapati laporan kewangan syarikat pemaju di bawah liputannya bagi tempoh itu menunjukkan sedikit kemerosotan berbanding suku sebelumnya tetapi tidak mungkin mengejutkan pelabur.

 

Sesetengah pemaju melaporkan keuntungan yang baik tetapi mereka mungkin menghadapi tekanan margin kerana kenaikan mendadak dalam kos pembinaan baru-baru ini boleh menjejaskan belanjawan luar jangka syarikat berkenaan.

 

Menurut Joe Shen, hanya IOI Properties Group Bhd. satu-satunya syarikat pemaju yang mengatasi jangkaannya didorong operasi di Singapura dan China. 

 

"Sementara itu, Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) pula, syarikat pemaju yang tersasar daripada jangkaan kami kerana unit hartanahnya masih bergelut dengan kos operasi disebabkan jualan yang lebih rendah," katanya.

 

Di sebalik persekitaran operasi yang mencabar, Kenanga Research memilih syarikat pemaju yang mempunyai aliran tunai kukuh yang boleh memberi pulangan dividen yang baik iaitu Eco World Development Group Bhd. dan IOI Properties dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran 83 sen dan RM1.60 sesaham. - DagangNews.com