Kenaikan OPR bakal mempengaruhi pembeli rumah dari kumpulan M40 - REHDA | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR bakal mempengaruhi pembeli rumah dari kumpulan M40 - REHDA

Ada antara golongan M40 dan B40 yang sedang menunggu pengumuman Bajet 2023 sebelum membuat sebarang pembelian rumah. - Gambar DagangNews.com

ALOR SETAR 16 Sept - Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.50 peratus dilihat berkemungkinan akan mempengaruhi orang ramai untuk membeli rumah, terutamanya kumpulan isi rumah M40 yang kebanyakannya mempunyai komitmen pinjaman bank terutamanya pembiayaan peribadi.

 

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis Yeoh Su Guan berkata buat masa ini, ada antara golongan M40 dan B40 yang sedang menunggu pengumuman Bajet 2023 sebelum membuat sebarang pembelian rumah.

 

“Peningkatan OPR kepada 2.50 peratus ini memang memberi kesan kepada pemaju hartanah, kerana apabila kadar ansuran meningkat, ia akan membuatkan pembeli teragak-agak untuk membeli rumah terutamanya golongan M40 yang mempunyai banyak komitmen lain.

 

“Banyak rumah yang masih tidak terjual kerana pembeli masih menunggu Bajet 2023, yang mana mereka berharap kerajaan akan menyediakan sesuatu kepada pembeli mahupun pemaju, dalam usaha mengurangkan kesan OPR itu berkaitan pemilikan rumah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara REHDA Kedah/Perlis bersama anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) di sini Khamis, Bernama melaporkan.

 

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini sebanyak 2.50 peratus dan ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini, untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu.

 

Dalam pada itu, beliau berkata kekurangan tenaga kerja, kos bahan binaan yang tinggi serta pelaksanaan gaji minumum, turut menyukarkan pemaju hartanah untuk memulihkan sektor berkenaan dalam tempoh pasca pandemik COVID-19 kini.

 

“Ramai pemaju hartanah yang terpaksa menangguhkan projek mereka berikutan beberapa isu yang timbul, antaranya kekurangan buruh pekerja asing, jadi kini pemaju sedang berusaha mencari jalan untuk menyiapkan projek-projek yang tertangguh dengan segera,” katanya. - DagangNews.com