Kenaikan OPR kepada 3% membuatkan pembelian, pembangunan hartanah lebih mahal, kata Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR kepada 3% membuatkan pembelian, pembangunan hartanah lebih mahal, kata Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3% akan membuatkan kadar pinjaman lebih tinggi menjadikan pembelian dan pembangunan hartanah lebih mahal.

 

Bagaimanapun, Juwai IQI percaya pasaran hartanah boleh menyerap peningkatan itu.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, bagi pembeli, perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bayaran balik pinjaman diimbangi oleh keadaan kewangan isi rumah yang lebih baik bagi kebanyakan keluarga.

 

Katanya, kenaikan 25 mata asas terhadap OPR akan menaikkan boleh meningkatkan kadar faedah pinjaman sekitar 0.25%.

 

"Bagi pemilik rumah dengan pinjaman RM500,000 pada 3.5% dan baki tempoh 20 tahun, kenaikan 0.25% dalam kadar faedah akan menyebabkan bayaran gadai janji bulanan meningkat kira-kira RM124 sebulan.

 

"Langkah itu juga akan meningkatkan kos pinjaman untuk pemaju hartanah dan menyebabkan mereka nerdepan pelbagai halangan sebelum meulakan pembinaan.

 

"Kita boleh melihat jumlah projek pembinaan yang dirancang semaki menyederhana dalam bagi tempoh enam bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

BACA JUGA: Bank Negara Malaysia naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%

 

Kashif berpendapat bahawa tindakan itu juga adalah untuk mengekang kenaikan inflasi selain membawa ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih seimbang dan prospek pertumbuhan adalah berdaya tahan walaupun dengan kenaikan kadar OPR terkini.

 

"Kami percaya pasaran hartanah kekal teguh, harga akan meningkat secara sederhana dan permintaan akan terus meningkat.

 

"Semua penunjuk pasaran perumahan adalah positif sepanjang tiga suku yang lalu. Jumlah urus niaga meningkat, Indeks Harga Rumah meningkat, dan hartanah tidak terjual mencatatkan penurunan dan kami yakin trend positif ini akan berterusan pada suku kedua tahun ini," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, keperluan untuk menaikkan kadar OPR sekali lagi menunjukkan kekuatan asas ekonomi Malaysia pada 2023.

 

Katanya, bank menjangkakan pengembangan ekonomi selanjutnya disebabkan oleh permintaan domestik, pekerjaan yang lebih tinggi, peningkatan dalam ketibaan pelancong dan perbelanjaan untuk projek infrastruktur berbilang tahun.

 

"Adalah lebih baik untuk mempunyai ekonomi yang kukuh dan kenaikan kadar OPR bagi mengelakkan kebergantungan kepada rangsangan dasar. 

 

“Kadar baharu hari ini masih 25 mata asas lebih rendah daripada kadar OPR 3% pada 2019," katanya. - DagangNews.com